SEBANYAK satu bilion pil methamphetamine dirampas di Asia Tenggara dan Timur tahun lepas, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin, ketika kumpulan jenayah mengambil peluang pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan di Myanmar untuk meningkatkan aktiviti mereka.
Kawasan di Asia Tenggara yang digelar Segitiga Emas telah lama menjadi tumpuan untuk pengedaran dadah, yang bersempadan dengan Myanmar, Laos dan Thailand di mana kawalan polis tempatan longgar sehingga membenarkan bahan haram itu melintasi sempadan.
Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) berkata pihak berkuasa berjaya merampas hampir 172 tan methamphetamine – kira-kira tujuh kali ganda lebih berbanding pada sedekad lalu – dan bekalan yang melonjak telah menyebabkan harga jalanan di Thailand dan Malaysia jatuh ke paras terendah sepanjang masa.
“Skala dan jangkauan perdagangan dadah methamphetamine dan dadah sintetik di Asia Timur dan Tenggara adalah mengejutkan,” kata Jeremy Douglas dari UNODC dalam satu kenyataan.
Beliau berkata sindiket jenayah dan kumpulan bersenjata telah memanfaatkan ketidakstabilan politik di rantau tersebut dan pandemik bagi meraih keuntungan besar.
“Jenayah terancang mempunyai semua ramuan yang mereka perlukan untuk terus kembangkan perniagaan,” katanya menambah mereka sememangnya mempunyai “populasi besar dengan kuasa perbelanjaan untuk disasarkan.”

Kavinvadee Suppapongtevasakul, penganalisis ubat sintetik serantau UNODC untuk program Smart global berkata harga dadah yang menjunam telah menjadikannya “lebih mudah diakses dan tersedia kepada mereka yang tidak mampu membelinya sebelum ini.”
“Akibat sosial daripada peningkatan penggunaan adalah ketara, dan perkhidmatan pengurangan bahaya kesihatan kekal terhad di seluruh rantau ini,” tambahnya.
Walaupun angka pil meth meningkat, UNODC juga mencatatkan sedikit penurunan dalam methamphetamine kristal, dengan 79 tan yang dirampas berbanding 82 tan pada 2020, walau masih meningkat namun masih kurang daripada 10 tan yang dirampas sedekad lalu.
Negeri Shan di Myanmar kekal sebagai sumber utama meth di rantau itu, dengan dadah itu makin rancak dihantar ke Laos, kemudian Thailand sebelum sampai ke Malaysia, di mana ia diedarkan ke negara-negara di seluruh Asia Pasifik, kata laporan itu. – AFP, 30 Mei, 2022.
Komen