SERAMAI 31 mangsa diselamatkan dan 11 masih hilang selepas sebuah feri kehabisan minyak serta karam dalam cuaca buruk di luar pantai Indonesia, kata seorang pegawai hari ini.
Bot tunda dan nelayan tempatan membawa ramai mangsa yang terselamat ke darat selepas KM Ladang Pertiwi karam ketika belayar melalui selat Makassar di wilayah Sulawei Selatan pada Khamis lepas.
“Sehingga kini 31 orang diselamatkan hidup-hidup dan kami masih mencari 11 lagi yang masih hilang.
“Mereka sudah pulang dan berada dalam keadaan sihat,” kata ketua pasukan mencari dan menyelamat tempatan yang hanya dikenali sebagai Djunaidi.
Pasukan penyelamat mengerahkan sebuah helikopter dan memperluaskan kawasan pencarian sehingga 20 batu nautika dari tempat bot itu karam dalam usaha mencari mangsa yang hilang, kata Djunaidi.
Kapal itu tidak mempunyai permit untuk mengangkut penumpang dan kedua-dua kapten serta pemilik kapal sudah dibawa untuk disoal siasat.
Tiada maklumat rasmi berapa ramai penumpang tetapi pihak berkuasa berkata mereka percaya terdapat 42 orang di atas kapal ketika bot itu karam.
Kemalangan marin adalah perkara biasa di kepulauan Asia Tenggara di sekitar 17,000 pulau di mana piawaian keselamatn sering longgar.
Pada Mei sebuah feri yang membawa lebih 800 orang terkandas di perairan cetek di luar wilayah Nusa Tenggara Timur selama dua hari. Tiada siapa yang cedera.
Pada 2018 kira-kira 150 mati lemas apabila sebuah feri karam di salah satu tasik terdalam di dunia di pulau Sumatera. – AFP, 30 Mei, 2022.
Komen