Kenapa harga ayam naik


Hishamuddin Rais

SEMINGGU ini kita heboh dengan berita harga ayam naik. Harga bahan makanan naik. Kadang-kadang ayam daging tidak ditemui di pasar, yang ada hanya ayam pencen. Ayam jadi induk berita. Ini diikuti pula oleh harga tepung naik. Maka harga roti canai naik. Maka harga  roti buku pun naik.

Bila harga barang naik maka media mula menjaja berita inflasi. Heboh kita dengan inflasi.

Awal tahun 70’an saya mula berkenalan dengan perkataan inflasi. Pada awalnya ramai tak faham akan makna perkataan ini. Maka dibuat lawak: inflasi makan nasi basi.

Hari ini perkataan inflasi dikaitkan dengan kenaikan harga barang. Pemahaman ini betul tetapi inflasi lebih daripada kenaikan harga barang. Ada sebab musabab yang melahirkan inflasi.

Sayangnya dalam hidup kita ini banyak hal kehidupan kita hanya kenal-kenal China. Kita memahami tapi tidak terperinci. Faham tapi tidak mendalam dan tidak tuntas.

Saya bukan pakar ekonomi. Saya juga cuba memahami apakah itu inflasi. Saya juga mencari cari sebab musabab berlakunya inflasi.

Pada tahun 70’an dulu sebelum inflasi datang melanda yang sampai dulu ialah ‘hot money’.  

Berita duit panas atau hot money sampai ini muncul dahulu sebelum inflasi. Dari mana duit ini datang juga tidak jelas. 

Ada mengatakan hot money ini datang dari Vietnam. Ini lambakan duit dolar Amerika yang ketika itu sedang berperang di Vietnam.

Kerajaan dan media milik kerajaan seperti biasa menjalankan peranan membebalkan orang ramai. Tidak memberi pencerahan.

Siapa yang memegang hot money ini sampai hari ini saya masih belum tahu. Malah konsep hot money tahun 70’an ini saya masih tidak faham.

Ketika hot money melanda Perdana Menteri ialah Tun Razak. Dengan cekap dan pantas Tun Razak mewujudkan dasar Bumi Hijau. Ini cara Tun Razak melawan hot money dan inflasi.

Apa dia Bumi Hijau ini?

Kerajaan Tun Razak menggalakkan semua tanah-tanah kosong ditanam dengan makanan. Ubi, keladi, keledek, lada, kunyit – semua warga digalakkan bercucuk tanam bukan secara meluas tapi di sekeliling rumah.

Kalau ada tanah lapang pelihara ayam dan itik. Untuk telur dan daging,

Sebenarnya menanam dan memelihara ayam itik ini  telah wujud dalam budaya hidup di kampung. 

Konsep ini telah diguna pakai. Di Negeri Sembilan kawasan tanaman sayur mayur di tepi atau di belakang rumah dipanggil peraq.

Sayur mayur ayam itik untuk makanan sendiri dan untuk jiran sekampung. Bertukar sayur dan tanaman antara jiran tetangga. Malah jika ada lebih boleh dijual. Ini menampung keperluan harga bahan barangan yang naik harganya.

Hari ini inflasi datang lagi. Saya memerhatikan ada pola dan ciri yang sama sedang berlaku. Pola dan ciri yang telah dilihat berlaku pada tahun 70’an.

Pemahaman pertama kita tentang inflasi ialah duit banyak manakala barang jualan sikit. Maka harga barang jualan di pasar menjadi mahal.

Ramai nak beli ayam tapi ayam tidak ada. Maka harga  ayam naik. Duit ada barang tak ada.

Kenapa duit banyak dalam pasaran? Kenapa barangan sikit dalam pasaran?

Dari segi teori ekonomi kapitalis, apabila ada permintaan maka akan ada penawaran. 

Tangan ghaib akan muncul untuk mengimbangi penawaran dan permintaan. Ini dinamakan kuasa  pasaran. Kuasa pasaran ini menetapkan harga barangan.

Dalam laporan media hari ini, dalam kes ayam, kita lihat tuduh menuduh mula berlaku. Pengguna menyalahkan pembekal. Pembekal menyalahkan peruncit. Peruncit dan pembekal marah pada kerajaan yang menetapkan harga.

Ayam salah satu barang dikawal.

Di Malaysia kalau pembekal dan pengilang dan peruncit orang Cina dan pengguna orang Melayu – dengan senang akan timbul perasaan perkauman. Cina tipu Melayu. Tapi apa sebenarnya berlaku?

Pertama, inflasi dan turun naik harga barang yang menimbulkan krisis ekonomi adalah watak dan perangai  sistem ekonomi kapitalis. Setiap 10 atau 15 tahun akan berlaku krisis ekonomi.

Inflasi dan harga bahan makanan naik bukan kerana peruncit atau pembekal itu Cina. 

Bangsa kaum dan agama tidak ada sangkut paut dengan  inflasi. Ini watak kapitalis untuk mendapat keuntungan maksimal.

Ketika saya menulis ini warga Iran sedang turun ke jalan raya membantah harga bahan makanan yang naik mendadak. 

Di Iran pembekal dan peruncit bukan peniaga Cina. Di Iran – peniaga, pembekal peruncit atau dikenali sebagai  Bazari semuanya Parsi beragama Islam.  

Manifestasi krisis sistem ekonomi kapitalis  ini sedang kita lihat di seluruh dunia. Warga hilang kerja, kilang tutup, pengangguran bertambah, harga barang jadi mahal.

Krisis ekonomi akan menimbulkan krisis politik.  

Jangan lupa krisis ekonomi  tahun 1998. Di Indonesia, Jeneral Suharto dijatuhkan. 

Di Malaysia, Anwar Ibrahim dibuang daripada jadi Menteri. Dua babak yang kita alami adalah manifestasi daripada krisis sistem ekonomi kapitalis.

Ingat tahun 2008 – sistem ekonomi kapitalis ini hampir runtuh. Dunia kapitalis hampir meledak pecah. Bank dan syarikat gergasi – too big to fail – besar sangat mustahil runtuh – kini lungkup jatuh muflis,

Dengan cepat Presiden Obama mengeluarkan 700 bilion dolar untuk ‘ bail-out’. Ingat Lehman Brothers runtuh lungkup terbarai terus tutup kedai.  

Jangan lupa di Malaysia kerajaan beri bantuan untuk beli Proton. Siapa ada Proton lama boleh tukar dapat baucer bernilai 10,000 ringgit untuk beli Proton baru.

Sakit perit dan luka krisis ekonomi tahun  2008 masih belum pulih dunia. Tapi kaum kapitalis berkenduri seperti biasa. 

Krisis datang sekali lagi. Kali ini lebih parah daripada hot money, lebih ganas dari zaman Lehman Brothers dalam era bail-out.

Setiap kali krisis berlaku ianya semakin parah. Krisis ekonomi tahun 2008 membawa ledakan kenaikan harga barang di Tunisia. 

Krisis ini  melahirkan Mohamed Baouazizi yang membakar dirinya dan meledaknya Arab Spring pada 2011.

Apakah saya ini membawa surah-surah setan untuk menakutkan pembaca?

Panggillah apa sahaja – ayat setan atau ayat pesimis – apa yang ingin saya nyatakan di sini adalah satu jalur pandangan yang wajib diutarakan. Jalur pandangan yang wajib kita ketahui untuk memahami kenapa harga barang naik.

Masanya sudah sampai untuk kita memahami dan hadapi apa yang berada di hadapan mata kita. Jika di hadapan kita ada hantu ada polong – setan dan jembalang – kita wajib bangun segak dan hadapi semua ini.

Jangan menyorok, jangan berkhayal, jangan berangan-angan. 

Apa yang berlaku di hadapan mata kita adalah perbuatan kita sendiri. Semua yang terjadi hari ini adalah jawapan kepada apa yang telah kita lakukan sebelumnya.

Krisis ekonomi tahun 2022 ini lebih menakutkan dari krisis 2008. Inflasi kali ini lebih berat, lebih meluas dan lebih memusnah. Akibatnya akan lebih parah terhadap umat manusia.

Punca awal bermula dari Wuhan provinsi China. Pada 31 Disember 2019 dilaporkan virus baru telah dikenal pasti. 

Virus ini merebak ke seluruh dunia. Pada 11 Mac 2020 WHO (Badan Kesihatan Dunia) mengumumkan pandemik ke seluruh dunia.

Ini bukan bala pertama wabak yang menimpa umat manusia. Pada tahun 1918-1920 Spanish Flu telah melanda Eropah. Antara 25 ke 50 juta tewas.

Virus Wuhan ini menetas dalam bilik makmal. Virus dari kelawar terlepas dari jagaan makmal terus membaham manusia.

Virus Wuhan menjerut nyawa 6.5 juta warga dunia. Virus ini meragut nyawa 36,656 warga Malaysia – ini angka pada 25 Mei 2022 dari data Kementerian Kesihatan Malaysia.

Virus Wuhan telah memporak perandakan ekonomi dunia. China adalah kilang produksi dunia terhenti. Apabila kilang di China ditutup, rantaian bekalan untuk dunia terputus.

Dengan mata kepala kita berupaya melihat kedai-kedai di pekan dan bandar di sekeliling wilayah kita ditutup. 

Iklan rumah kedai untuk dijual atau disewa terpampang disana sini. Kemudian kita baca berita kilang itu dan kilang ini ditutup. Ramai hilang kerja.

Bila tak ada kerja, Si Penganggur tidak mampu membayar pinjaman bank. Kereta kena tarik. Rumah kena lelong. Sewa tak mampu dibayar, maka terpaksa hidup di jalan raya. Ini sedang berlaku. Hutang bertambah.

Peniaga kecilan, peniaga pertengahan tanpa sokongan modal yang lumayan adalah kelas pertama tutup kedai. Mereka ini ada nadi dan aliran darah dan rantai  dalam sistem ekonomi kapitalis.  

Rumusannya serangan virus Wuhan selama tiga tahun ini membawa dampak yang mendalam terhadap permintaan, penawaran dan pembekal produk.

Pertengahan tahun 2022 kesan virus Wuhan ini semakin kendur dan mula mengenap. Dunia dan kita semua merasa berada di landasan pemulihan. Sana sini berita gembira sampai.

Virus Omicron pengganti Delta dilihat tidak lagi ganas. Akhirnya kita di Malaysia menamatkan PKP (Perintah Pergerakan Kawalan) yang bermula pada  18 Mac 2020 dan tamat pada 31 Disember 2021.

Serangan virus Wuhan makin reda di seluruh dunia. Hidup semakin pulih seperti tahun 2019.

Tup tup – tetiba pada 24 Februari Perang Ukraine pecah. Rusia melancar operasi bersenjata terhadap Ukraine. Seperti dirancang – manusia ini menghadapi satu bala lepas satu bala.

Rantaian pembekal makanan baru hendak mengatur kapal keluar masuk kini berhadapan dengan bala yang baru.

Apa sangkut paut semua ini dengan harga ayam yang ditetapkan antara 8 ke 9 ringgit sekilo?  

Dalam sistem ekonomi kapitalis yang menetapkan harga ialah tangan ghaib i.e pasaran. Bila Kementerian Hal Ehwal Pengguna jadi tangan ghaib maka pasaran terganggu. Dengan magik ayam hilang dari pasaran.

Menteri pengawal barang dilihat Menteri Melayu – pembekal, pemborong dilihat China. 

Sekali lagi perasaan perkauman muncul. Di sini muncul tuduh menuduh. Kedua-dua Menteri dan pembekal tidak menerangkan bahawa apa yang berlaku adalah ciri dan pola sistem ekonomi kapitalis.

Kaum kapitalis akan menahan pengeluaran apabila dilihat keuntungan maksimum mereka tidak  dapat dicapai. 

Kaum kapitalis bukan berniaga untuk membuat amal jariah. Kapitalis berniaga untuk mendapat untuk maksima.

Pemahaman keuntungan maksimum ini wajib ditanamkan kepada semua pengguna – anak semua bangsa – bangsa semua agama – agar mereka sedar apa itu sistem ekonomi kapitalis.

Perang di Ukraine jauhnya beribu batu dari pasar Chow Kit. Kita tidak berperang. Tidak ada bom meledak di Jalan Raja Alang. Tapi dampaknya sampai. Kesannya dirasakan. Semua bertanya kenapa ayam naik harga. Tunggu minggu hadapan untuk jawapan. – 30 Mei, 2022.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen