PKR kini mesti merapatkan barisan dan fokus untuk memenangi PRU15 selepas parti itu menamatkan pemilihan parti, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.
“Ada di antara kita yang menang, dan ada yang belum. Saya percaya bahawa keinginan kita untuk berkhidmat kepada parti dan rakyat tetap utuh.
“Sudah tiba masanya untuk kita mengetepikan perbezaan, merapatkan saf, dan mula mendapatkan semula kepercayaan rakyat.
“Kita harus fokus untuk memenangi PRU15 dan memulihkan kerosakan yang telah dilakukan oleh dua kerajaan terakhir,” kata ahlI Parlimen Setiawangsa dalam satu kenyataan hari ini.
Nik Nazmi mengulas keputusan tidak rasmi pemilihan PKR yang mana pasukan Ayuh Malaysia! memenangi beberapa tempat teratas dalam parti.
Walaupun, jawatan presiden tidak dipertandingkan lagi, bekas naib presiden dan ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan pasukannya memenangi timbalan presiden dan tiga daripada empat jawatan naib presiden.
Nik Nazmi yang merupakan sebahagian daripada Ayuh Malaysia! dikatakan memenangi satu daripada empat jawatan naib presiden bersama Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun. Satu lagi jawatan naib presiden dimenangi oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Menurut Nik Nazmi, PKR mengekalkan sistem satu ahli, satu undi dan memperkenalkan pengundian elektronik dengan aplikasi ADIL.
Beliau berkata, walaupun ini merupakan peratusan keluar mengundi yang inovatif, namun ia adalah rendah iaitu sekitar 13.5%.
“Ini adalah petanda bahawa lebih banyak perlu dilakukan untuk mengaktifkan akar umbi Keadilan.
“Kita mesti mencari cara untuk memberdayakan ahli kita, bukan hanya dengan menambah anggota dan ranting baharu tetapi memperkasakan para ahli,” kata Nik Nazmi. – 30 Mei, 2022.
Komen