Shafee demam, bicara laporan audit 1MDB Najib tangguh


Perbicaraan laporan audit 1MDB Najib Razak ditangguhkan selepas peguam utama Shafee Abdullah jatuh sakit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2022.

PERBICARAAN laporan audit 1MDB Najib Razak ditangguhkan selepas peguam utama Shafee Abdullah jatuh sakit.

Peguam Najib Rahmat Hazlan memberitahu Mahkamah Tinggi pagi ini bahawa suara peguam terkemuka itu seperti mendiang pelakon filem Sean Connery ketika beliau menghubunginya.

“Shafee mengalami demam panas dan sakit tekak. Apabila dia (Shafee) menelefon (saya awal pagi ini untuk memaklumkan tentang perkara ini), dia kedengaran seperti Sean Connery,” kata Rahmat kepada mahkamah.

Hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan mengosongkan perbicaraan tetapi memberitahu Rahmat kenyataannya adalah tidak wajar kerana Connery sudah meninggal dunia.

“Connery sudah tiada, jadi itu bukan contoh yang baik,” kata Zaini.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata pihak pendakwaan tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan untuk menangguhkan perbicaraan hari ini. 

Pelakon Britain Sean Connery yang terkenal melakonkan watak sebagai perisik James Bond meninggal dunia pada usia 90 tahun pada 31 Oktober 2020.

Zaini kemudian menetapkan Jumaat ini bagi mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil tertuduh bersama dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy supaya memberi keterangan terhadap Najib.

Perbicaraan utama juga ditetapkan untuk disambung semula pada 21, 25 dan 28 Oktober.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi menghalang sebarang tindakan terhadapnya.

Arul Kanda didakwa bersubahat dnegan Najib dalam membuat pindaan. – 30 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen