TAUFAN Agatha dilaporkan semakin kuat kini berada di luar pantai barat Mexico yang mana ia mungkin akan melanda pesisir negara itu sebagai ribut Kategori Tiga, menurut amaran perkhidmatan cuaca Mexico.
Suhu laut yang tinggi dan kelajuan taufan yang perlahan memberinya banyak masa untuk menjadi kuat sebelum ia melanda daratan, kata penyelaras am Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (SMN) Mexico Alejandra Mendez, dalam sidang video.
Sehingga petang Ahad, taufan Agatha telah pun menjadi ribut Kategori Dua pada skala Saffir-Simpson ketika ia berpusing kira-kira 295 kilometer (185 batu) ke barat Puerto Angel, Mexico.
“Diramalkan taufan itu mungkin akan melanda sebagai Kategori Tiga antara Puerto Escondido dan Huatulco, Oaxaca,” kata Mendez, sambil menambah bahawa ia dijangka melanda pada Isnin.
Agatha membawa angin berkelajuan maksimum 175 kilometer sejam, sambil bergerak ke utara pada kira-kira dua kilometer sejam, menurut laporan Pusat Taufan Kebangsaan AS (NHC) pada 2100 GMT.
Pihak berkuasa di negeri Oaxaca, Guerrero dan Chiapas menggalakkan langkah pencegahan mulai Sabtu dan meminta penduduk menjaga harta benda berhampiran kawasan pantai dan menyeru penduduk untuk berlindung. Mereka juga menutup pelabuhan Oaxaca dan Guerrero.
Destinasi meluncur popular di Puerto Escondido dan Huatulco menyediakan tempat perlindungan sementara dengan kapasiti untuk menempatkan 26,800 orang dan mengaturkan potensi penginapan untuk 5,200 lagi di hotel tempatan.
Mexico sering dilanda taufan di kedua-dua pantai Pasifik dan Atlantiknya, biasanya antara bulan Mei dan November.– AFP, 30 Mei, 2022.
Komen