Rafizi dahului Saifuddin bagi jawatan timbalan presiden PKR


Mohd Farhan Darwis

Lawan Rafizi Ramli, Saifuddin Nasution Ismail yang juga setiausaha agung PKR menerima lebih 41,000 undi setakat ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2022.

RAFIZI Ramli mendahului kutipan undi bagi merebut jawatan timbalan presiden PKR apabila berjaya mengumpul lebih 54,000 undi setakat ini.

Lawannya, Saifuddin Nasution Ismail yang merupakan setiausaha agung PKR pula menerima lebih 41,000 undi dari kiraan di lapan negeri.

Ia jumlah kiraan tidak rasmi dari negeri Selangor, Johor, Pahang, Kelantan, Sabah, Melaka, Negeri Sembilan dan Kedah yang disiarkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR hari ini.

Rafizi mendahului kutipan undi berbanding Saifuddin di Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Kedah dan Kelantan manakala Saifuddin mendahului kutipan di Sabah.

Di Pahang, Rafizi memperolehi 1,889 undi, manakala Saifuddin mendapat 493 undi, bekas naib presiden PKR itu juga memperolehi 5,522 undi di Negeri Sembilan berbanding Saifuddin yang mendapat 2,559 undi.

Di Melaka, Rafizi mendapat 2,427 undi berbanding 1,464 undi yang diperolehi Saifuddin, manakala di Johor, Rafizi mendapat 3,967 undi berbanding Saifuddin yang memperolehi 1,117 undi.

Di Kelantan, Rafizi mengumpul 3,107 undi berbanding Saifuddin 2,107 manakala di Kedah, Rafizi mendapat 4,847 dan Saifuddin pula memperolehi 2,724 undi.

Di Sabah, Saifuddin mendapat 8,585 undi dan meninggalkan Rafizi yang mendapat 6,814 undi.

Pengerusi JPP PKR Dr Zaliha Mustafa berkata, pemilihan parti itu bagi penggal 2022-2025 tamat secara rasmi hari ini manakala keputusan rasmi hanya akan diumumkan pada Jun depan.

Zaliha berkata, pengundian berakhir hari ini berikutan pengundian semula di 12 cabang di lima negeri iaitu Kedah, Terengganu, Sabah, Selangor dan Kelantan.

Keputusan rasmi katanya hanya akan diumumkan pada kongres PKR yang dijadual berlangsung pada 25 dan 26 Jun depan.

Pemilihan PKR berlangsung dari 13 Mei hingga 22 Mei itu turut mengalami beberapa masalah teknikal.

Peratusan keluar mengundi juga rendah kali ini dengan kurang daripada 13% daripada 1.1 juta ahli PKR keluar mengundi secara fizikal atau melakukannya dalam talian. – 29 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen