KEJADIAN pengeboman dan tembak menambak di Tak Bai, Narathiwat, selatan Thailand minggu lalu akan memberi kesan buruk kepada penduduk tempatan di kedua-dua negara berikutan keselamatan yang akan diperketatkan, kata badan pemikir tempatan.
Iman Research, yang memberi tumpuan kepada pembangunan keamanan dan pembangunan mampan, berkata pasukan keselamatan Malaysia juga akan meningkatkan kehadiran dan keselamatannya di utara semenanjung, dan ini akan menyebabkan kesan kepada kehidupan seharian rakyat Malaysia.
Pengarah urusannya, Altaf Deviyati memberitahu The Malaysian Insight insiden itu juga akan menyebabkan rundingan damai yang sepatutnya diteruskan pada Jun 2022 tertangguh.
“Pengeboman dan tembakan di Tak Bai baru-baru ini adalah serangan besar dan tersusun pertama yang berlaku sejak berakhirnya gencatan senjata Ramadan tamat secara rasmi pada 14 Mei 2022.
“Kepentingan serangan ini adalah pada tahap perincian, penyelarasan dan perancangan yang dimasukkan ke dalamnya.
“Pastinya ini bermakna tentera Thailand akan meningkatkan kehadiran dan keselamatan di selatan, menjejaskan kehidupan seharian masyarakat tempatan dan akan menunda rundingan damai yang sepatutnya diteruskan pada Jun 2022,” katanya.
Pada masa ini, hanya Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang terlibat dalam rundingan damai dengan kerajaan Thailand.
BRN merupakan gerakan kemerdekaan Islam Patani di selatan Thailand.
Kumpulan pemberontak lain yang ada di selatan Thailand termasuk Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO) dan Gerakan Mujahidin Islam Patani (GMIP).
Setakat ini tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut.
Pemimpin PULO Kasturi Mahkota telah dipetik media sebagai menafikan kumpulannya bertanggungjawab terhadap serangan itu.
“Selatan dalam” Thailand merangkumi wilayah Pattani, Narathiwat, Yala termasuk empat daerah di wilayah Songkhla di selatan negara yang majoriti Melayu Islam.
Pada Khamis, tiga anggota pasukan keselamatan cedera selepas balai polis marin di Tak Bai diserang orang yang membawa senjata api dan bom tangan.
Ketua Polis Narathiwat Mej Jen Pol Waesame Salae berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 9 malam (waktu tempatan) di pos kawalan marin yang terletak berdekatan dengan Pengkalan Kubor, di Tumpat, Kelantan di sebelah Malaysia.
Sekumpulan 10 lelaki yang dipercayai anggota militan melepaskan tembakan bertubi-tubi dan melontar bom paip ke dari arah daratan dan sungai dalam kejadian yang berlanjutan kira-kira 30 minit.
Penduduk Pengkalan Kubor, di Tumpat, Kelantan dikatakan turut mendengar dengan jelas bunyi letupan bom dan tembakan itu.
Beberapa video dirakam orang ramai sejak itu tular di media sosial, menunjukkan beberapa lelaki melepaskan tembakan.
Serangan itu berlaku sejurus selepas gencatan senjata antara BRN dan pasukan keselamatan Thailand pada Ramadan.
Altaf berkata terdapat kemungkinan serangan itu diselaraskan oleh kumpulan serpihan lain yang tidak berpuas hati dengan rundingan damai tersebut.
“Atau kumpulan lain kecewa sebab mereka tidak termasuk dalam rundingan damai,” tambahnya.
Sebaliknya, tentera Thailand menyalahkan “pengendali perdagangan haram” seperti penyeludup dadah yang telah “dibersihkan” dalam beberapa bulan kebelakangan ini dalam usaha untuk mengekalkan rundingan damai yang berterusan.
Ditanya tentang bagaimana Malaysia boleh memainkan peranan dalam memastikan proses damai itu diteruskan, Altaf berkata satu-satunya cara untuk mewujudkan keamanan di kawasan selatan adalah melalui meja rundingan.
Beliau melahirkan keyakinan yang Malaysia boleh terus mendesak penyelesaian politik memandangkan kedudukan unik yang dimilikinya.
“Malaysia bukan sekadar jiran, malah sebenarnya kita adalah pihak berkepentingan kerana kita sedang mengalami kesan limpahan keganasan.
“Bilangan belia selatan Thailand yang tinggi ke Malaysia adalah satu contoh. Untuk kepentingan kita sendiri juga jika ada keamanan di selatan Thailand.
“Peranan rasmi kita adalah sebagai fasilitator – memudahkan rundingan antara Bangkok dan BRN tetapi kita juga lebih daripada itu. Kita telah berkongsi budaya dan agama dengan Selatan (Thailand) malah kita juga mempunyai hubungan dua hala yang kukuh dengan Thailand.
“Langkah ke hadapan untuk keamanan yang mampan dan berpanjangan adalah melalui penyelesaian politik dan ini hanya boleh berlaku melalui meja rundingan. Disebabkan kedudukan Malaysia yang unik, kita boleh memainkan peranan dalam membantu mendorong penyelesaian politik,” tegasnya.
Gerakan kemerdekaan di “selatan dalam” yang diketuai oleh kumpulan pemisah bermula pada tahun 1960-an dan sehingga kini, lebih 7,000 orang telah terbunuh dan 13,500 yang lain cedera dalam keganasan di seluruh wilayah itu. – 30 Mei, 2022.
Komen