Teliti isu guru warden asrama, kata menteri


Elaun guru warden asrama didakwa terlalu rendah iaitu RM240 sebulan yang dilihat tidak setimpal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2022.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang meneliti isu berkaitan guru warden asrama dalam usaha menambah baik perjawatan itu termasuk keperluan menaikkan elaun, kata menterinya Radzi Jidin.

Beliau berkata, kementerian sedar isu berkaitan guru warden asrama sudah berlarutan sekian lama.

“Kita tahu warden di luar sana tertanya-tanya apakah pendekatan yang akan diambil oleh kementerian dan seperti mana saya sebut sebelum ini kita melihat perkara ini secara menyeluruh, kita ingin selesaikan perkara ini buat selama-lamanya, namun begitu ada kekangan tertentu yang sedang kita selesaikan.

“Kita sedar warden ni antara cabaran mereka apabila dia jadi warden dia akan rugi maknanya dari segi elaun, baik dia tak perlu jadi warden. Ini perkara kita sedang usahakan,” katanya kepada media pada majlis Jalinan Mesra Aidilfitri dan Hari Terbuka KPM di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, ada pihak menggesa KPM untuk mengkaji elaun guru warden asrama yang didakwa terlalu rendah iaitu RM240 sebulan yang dilihat tidak setimpal kerana mereka terpaksa bertugas sehingga 24 jam sehari.

“Ini perkara (elaun) kita sedang usahakan, maknanya kalau dia tidak jadi warden, elaun dia lagi bagus daripada dia jadi warden, bila jadi warden elaun bukan sekadar sikit tetapi kena potong pula.

“Jadi perkara ini perkara teknikal yang kita perlu bincang dengan agensi pusat dan kita sedang selesaikan, ini ambil sedikit masa. Tapi komitmen, kita sedar ada isunya dan kita sedang cuba selesaikan,” katanya. – Bernama, 29 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen