Diplomat sertai pertunjukan fesyen promosi sutera Thai


Duta Malaysia ke Thailand, Jojie Samuel dan isteri Catherina Cherian Samuel turut menyertai pertunjukan fesyen sutera Thailand di Bangkok. – Gambar Facebook, 29 Mei, 2022.

THAILAND pada Sabtu menganjurkan World Thai Silk Fashion Extravaganza dalam usaha menyokong industri sutera negara itu yang turut menampilkan aksi ahli kor diplomatik di pentas peragaan.

Pertunjukan fesyen “Celebration of Silk, Thai Silk Road to The World” ke-11 di Bangkok itu sebahagian perayaan sempena ulang tahun kelahiran ke-90 Permaisuri Sirikit serta menghargai sumbangannya terhadap industri sutera.

Tahun ini, lebih 1,000 meter fabrik sutera digunakan oleh pelajar bidang fesyen untuk menghasilkan pelbagai rekaan busana yang menarik.

Seramai 231 guru dan 318 pelajar dari 73 universiti dan kolej vokasional menyertai pertunjukan itu yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Thailand, Wissanu Krea-ngam.

Beliau berkata, pertunjukan tahunan itu melambangkan kerjasama komuniti diplomatik dalam mempromosikan pertukaran budaya serta mengeratkan hubungan dalam kalangan rakyat Thailand dan negara peserta.

“Terima kasih kepada diplomat yang mengambil bahagian. Ia juga memberi peluang kepada pelajar mempelajari budaya dan warisan asing melalui rekaan pakaian sutera Thailand. Ini satu pengalaman berharga untuk generasi muda kita,” katanya.

Duta Malaysia ke Thailand, Jojie Samuel dan isterinya Catherina Cherian Samuel antara kor diplomatik yang turut mengambil bahagian dalam pertunjukan fesyen itu.

Beliau dan isteri memperagakan busana yang diinspirasikan daripada pakaian tradisional Malaysia, hasil rekaan guru dan pelajar Universiti Teknologi Rajamangala. – Bernama, 29 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen