FARHASH Wafa Salvador Rizal Mubarak menyeru supaya mengadakan audit forensik selepas kalah jawatan ketua cabang PKR GOmbak kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Bekas pengerusi PKR Perak itu meluahkan keraguannya mengenai ketelusan dan kebenaran keputusan tidak rasmi pemilihan PKR 2022 yang diumumkan hari ini.
“Pihak saya mempunyai bukti dan dokumentasi yang kukuh untuk menyatakan bantahan rasmi, dengan gesaan untuk parti menjalankan satu audit forensik terhadap sistem keputusan dan kaedah-kaedah perlaksanaannya.
“Bantahan kami adalah terhadap keputusan undian fizikal dan juga pengundian atas talian (PAT) yang mana kami dapati keputusan bagi Cabang Gombak adalah tidak munasabah, berbanding kehadiran penyokong kami secara fizikal dan juga pengundian atas talian yang kami rekodkan,” katanya di Facebook.
Jumlah tidak rasmi menunjukkan Amirudin memperoleh 1,858 undi berbanding Farhash dengan 1,215 undi.
“Satu laporan forensik yang meneliti setiap undi PAT dan fizikal perlu dijalankan oleh satu entiti bebas yang dipersetujui oleh semua pihak.
“Saya berharap pihak Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan pimpinan parti mengambil tindakan sewajarnya dan membetulkan keadaan sekiranya terbukti sistem pemilihan dan keputusan telah dikompromi,” kata Farhash.
Awal hari ini, pengerusi JPP PKR Zaliha Mustafa berkata pemilihan parti bagi penggal 2022-2025 telah tamat secara rasmi dan keputusannya akan diumumkan pada Jun.
Zaliha berkata, pengundian berakhir hari ini berikutan pengundian semula di 12 cabang di lima negeri iaitu Kedah, Terengganu, Sabah, Selangor dan Kelantan.
Beliau berkata, untuk maklumat lanjut mengenai keputusan itu, semua keputusan tidak rasmi daripada semua cabang akan disiarkan di laman web PKR mulai hari ini.
“Keputusan rasmi akan diumumkan pada kongres PKR yang akan berlangsung pada 25 dan 26 Jun. Semua keputusan muktamad,” katanya dalam satu kenyataan.
Cabang Gombak sebelum ini dipegang oleh bekas timbalan presiden PKR Mohamad Azmin Ali yang pada 2020 berpaling tadah kepada Bersatu melalui Langkah Shaeraton. – 29 Mei, 2022.
Komen