Usul penyertaan Belia 18 tahun PBB bulan depan


Alexander Nanta Linggi berkata, persidangan kali ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan dijangka dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2022.

USUL untuk meminda perlembagaan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi membolehkan belia berumur 18 hingga 28 tahun untuk menyertai parti itu akan dibentangkan pada persidangan perwakilan parti dari 17 hingga 19 Jun ini.

Setiausaha Agung PBB Alexander Nanta Linggi hari ini berkata, usul itu turut mencadangkan belia dalam kumpulan umur berkenaan untuk bertanding dan memegang jawatan dalam parti.

“Pindaan ini sejajar dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan warganegara berumur 18 tahun secara automatik didaftarkan sebagai pengundi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di Kuching.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan presiden parti yang juga Premier Sarawak Abang Johari Openg.

Menurut Nanta, persidangan kali ini yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dijangka dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan akan turut menyaksikan pemilihan bagi beberapa jawatan dalam parti berkenaan. – Bernama, 29 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen