PEMILIHAN parti PKR bagi penggal 2022-2025 tamat secara rasmi hari ini, kata Dr Zaliha Mustafa.
Pengerusi jawatankuasa pemilihan PKR berkata, keputusan itu akan diumumkan pada Jun.
Zaliha berkata, pengundian berakhir hari ini berikutan pengundian semula di 12 cabang di lima negeri iaitu Kedah, Terengganu, Sabah, Selangor dan Kelantan.
Beliau berkata, untuk maklumat lanjut mengenai keputusan itu, semua keputusan tidak rasmi daripada semua cabang akan disiarkan di laman web PKR mulai hari ini.
“Keputusan rasmi akan diumumkan pada kongres PKR yang akan berlangsung pada 25 dan 26 Jun. Semua keputusan muktamad,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim memberitahu semua calon yang bertanding dalam pemilihan itu supaya menerima keputusan dengan hati terbuka.
Beliau berkata, keputusan itu diharap dapat membina semula kekuatan parti.
Pemilihan parti berlangsung dari 13 Mei hingga 22 Mei dan dicemari oleh beberapa kesilapan teknikal.
Pemilihan itu juga menyaksikan peratusan keluar mengundi yang rendah, dengan kurang daripada 13% daripada 1.1 juta ahli parti keluar mengundi secara fizikal atau melakukannya dalam talian.
Antara keputusan yang ditunggu-tunggu adalah kerusi timbalan presiden membabitkan Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution Ismail. – 29 Mei, 2022.
Komen