JUMLAH ahli yang mengundi pada Pemilihan PKR 2022 meningkat kepada kira-kira 147,000 berbanding 140,000 pada 2018 walaupun peratusan keluar mengundi hanya 13.5%, kata pengarah komunikasi strategik PKR, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, jumlah peratusan mengundi di cabang tertentu juga tinggi, contohnya di cabang Pensiangan yang mencecah 45%.
“Ia tidak boleh dilihat pada jumlah purata keluar mengundi, beberapa faktor juga dikenal pasti termasuk faktor logistik dan teknikal seperti capaian Internet, ini semua akan kita perbaiki dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai, Kuala Lumpur hari ini.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, faktor lain adalah apabila terdapat 65 daripada 222 cabang tidak mengadakan proses pemilihan, menyebabkan peratusan keluar mengundi rendah.
Beliau turut menafikan peratusan rendah itu disebabkan oleh tindakan boikot ahli yang tidak berpuas hati terhadap pencapaian Pakatan Harapan (PH).
Pemilihan PKR 2022 berakhir semalam selepas menyaksikan pengundian semula di 12 cabang beberapa buah negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Sabah.
Keputusan tidak rasmi cabang akan dipamerkan di laman sesawang ‘Pemilihan Keadilan 2022’ mulai hari ini.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan berkata, keputusan yang bakal diumumkan tertakluk kepada keputusan aduan dan bantahan diterima JPP yang masih dalam proses siasatan oleh panel aduan JPP.
“Pengumuman keputusan rasmi akan dibuat pada Kongres Parti Keadilan Rakyat yang dijadual berlangsung pada 25 dan 26 Jun ini.
“Keputusan yang akan diumumkan adalah keputusan muktamad bagi Pemilihan Keadilan 2022,” katanya. – Bernama, 29 Mei, 2022.
Komen