MALAYSIA kini berjaya menanam 33 juta pokok sejak pelancaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok pada 5 Jun 2021, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata, 33 juta pokok itu merangkumi lebih 1,000 spesies pokok di seluruh negara.
“Perlis juga tidak ketinggalan apabila sehingga kini berjaya menanam 120,399 pokok iaitu bersamaan 60.20% daripada sasaran 2022,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program Kembara Hijau bersama Himpunan Outdoorians Malaysia (HOM) sempena kempen penghijauan Malaysia dan sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri Perlis di Kangar hari ini.
Berangkat ke majlis itu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Menteri Besar Perlis Azlan Man, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Rosli Isa dan Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Mohd Ridza Awang.
Takiyuddin berkata, sehingga kini Malaysia masih mengekalkan 55.3% atau 18.27 hektar daripada keluasan tanah negara dengan kawasan berhutan selaras dengan komitmen negeri di peringkat antarabangsa.
“Suka saya maklumkan kementerian membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 untuk bacaan pertama pada 3 Mac 2022,” katanya dan menambah bacaan kali kedua dan ketiga dijangka berlangsung semasa persidangan Parlimen Julai ini.
Beliau berkata, untuk makluman, perundangan itu mengambil masa hampir 13 tahun untuk dimuktamadkan dan akhirnya dibawa ke Parlimen.
“Antara penambahbaikan utama memperketatkan prosedur pewartaan keluar dan penggantian hutan simpan kekal (HSK) dengan memperkenalkan penyiasatan awam dan penggantian serentak bagi HSK yang dibawa keluar,” katanya.
Takiyuddin berkata, usaha itu satu manifestasi komitmen untuk mengekalkan 50% daripada kawasan negara sebagai kawasan berhutan.
“Saya harap dengan lulusnya RUU ini nanti perundangan perhutanan negara akan lebih mantap,” katanya. – Bernama, 29 Mei, 2022.
Komen