PM patut ambil alih kementerian Zuraida, kata Steven Sim


Aminah Farid

Zuraida Kamaruddin mengumumkan beliau mengosongkan jawatan menteri dan meninggalkan Bersatu untuk menyertai PBM pada Khamis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya memegang jawatan menteri perusahaan perladangan dan komoditi yang ditinggalkan Zuraida Kamaruddin dan tidak melantik menteri baharu bagi jawatan itu, kata setiausaha penganjur kebangsaan DAP Steven Sim.

Menurut Sim, ia akan menghalang parti dalam gabungan pemerintah daripada bersaing sesama sendiri merebut jawatan kosong berikutan peletakan jawatan Zuraida yang tidak dijangka pada Khamis.

Ahli Parlimen Ampang Zuraida pada 26 Mei mengumumkan beliau mengosongkan jawatan menteri dan meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

“Saya mencadangkan Ismail Sabri mengambil alih jawatan itu tanpa gaji sehingga tempoh Parlimen sekarang tamat,” kata Sim, yang juga ahli Parlimen Bukit Mertajam.

Sim berkata, lebih wajar buat perdana menteri untuk memegang jawatan itu kerana mana-mana menteri yang baru dilantik memerlukan masa mungkin beberapa bulan untuk membentuk dan memuktamadkan pasukannya.

Beliau turut menyenaraikan empat sebab lain mengapa beliau percaya Ismail Sabri tidak sepatutnya melantik orang baharu bagi mengisi kekosongan jawatan itu.

Memandangkan kini terdapat 68 menteri dalam pentadbiran tidak termasuk duta dan penasihat, katanya, langkah itu akan membantu mengurangkan saiz Kabinet.

“Ia membazir terutamanya apabila kerajaan gagal menangani pelbagai masalah yang dihadapi rakyat sejak pandemik dan baru-baru ini pengurusan subsidi ayam,” katanya.

Portfolio menteri perusahaan perladangan dan komoditi sudah bertukar tangan tiga kali dalam tempoh lima tahun dan Sim berkata, ia memberi kesan negatif kepada industri dan kementerian.

“Jika Ismail Sabri mengambil alih, ia akan meningkatkan kestabilan dalam kementerian dan tiada perubahan besar perlu dilaksanakan dari segi dasar atau struktur organisasi,” katanya.

Sim berkata, dengan Ismail Sabri mengambil alih jawatan itu sendiri, perdana menteri akan berada dalam kedudukan yang baik untuk memberikan kepimpinan yang kukuh dan meremajakan sektor perladangan domestik.

Selain itu, beliau berkata, perebutan kuasa antara Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno dan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Bersatu juga boleh dikawal.

“Pergelutan kuasa yang berterusan antara kedua-dua parti bukanlah rahsia dan jika Ismail Sabri tidak melantik menteri baharu, beliau tidak akan menyinggung mana-mana pihak dalam kerajaan yang bertanding untuk jawatan itu,” kata Sim, sambil menambah ia juga akan memaksa komponen lain dalam kerajaan menumpukan usaha mentadbir negara dengan lebih baik.

Jelasnya, dengan tidak menggantikan Zuraida dengan ahli Parlimen lain, kerajaan juga akan mengurangkan perbelanjaan operasi lebih-lebih lagi apabila inflasi dilaporkan sudah melanda negara. – 29 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen