AHLI Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah masih belum memutuskan sama ada beliau akan bertanding mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Wakil rakyat 11 penggal yang mesra dikenali dengan nama Ku Li itu, turut mengakui ada ramai pemimpin muda dalam Umno yang lebih sesuai dan mempunyai peluang lebih tinggi memenangi kerusi itu, walaupun mereka perlu memenuhi kehendak rakyat.
“Veteran atau muda bukan soalnya, tetapi ia mengenai boleh menang atau tak boleh menang. Kalau taruhan orang baru, ada masalah integriti atau macam-macam syarat tidak memenuhi kehendak rakyat, sehingga dia tak boleh menang… nak buat apa?,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
“Bertanding nak menang, jika letak 100 calon dan 100 kalah, hilang deposit lagi. Macam parti-parti yang bertanding di Johor bukan sahaja kalah dengan teruk, malah hilang deposit.”
Tambahnya, beliau percaya sebarang keputusan berkaitan isu itu perlu diputuskan kepimpinan pusat parti dan ahli akar umbi.
“Saya sendiri pun dah teruk kena pakai enjin tiga silinder,” katanya berseloroh merujuk kepada usianya.
Sebelum ini dilaporkan yang Tengku Razaleigh tidak akan mempertahankan kerusi Gua Musang pada pilihan raya akan datang.
Beliau pertama kali menjadi ahli Parlimen pada 1974 mewakili kawasan itu yang ketika itu dikenali sebagai Ulu Kelantan. Ia kemudiannya ditukar kepada Gua Musang pada 1986.
Sehingga sekarang, Tengku Razaleigh adalah ahli Dewan Rakyat paling lama berkhidmat dengan rekod tidak pernah kalah pilihan raya selama 11 penggal berturut-turut. – 29 Mei, 2022.
Komen