TERDAPAT 1,645 kes jangkitan baharu Covid-19 direkodkan pada Sabtu, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan sejak wabak itu bermula kepada 4,502,579, kata Kementerian Kesihatan.
Daripada jumlah itu, hanya satu kes import yang dikesan.
Jumlah kes pulih mengatasi jumlah kes jangkitan baharu dengan 1,809 pesakit pulih, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih di Malaysia kepada 4,441,70.
Kes aktif kini ialah 25,218 dengan 96.1% atau 24,238 individu diletakkan di bawah kuarantin di rumah dan hanya 0.1% atau 16 pesakit dimasukkan ke pusat kuarantin berisiko rendah.
Sementara itu, kementerian berkata 964 pesakit atau 3.82% dihantar ke hospital untuk rawatan.
Kementerian berkata 34 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi yang mana 17 daripadanya memerlukan sokongan alat bantuan pernafasan.
Jumlah kemasukan hospital tertinggi semalam dicatatkan di Selangor iaitu 135, diikuti Johor (86) dan Sabah (63).
Mengenai jumlah kematian, dua kematian dilaporkan semalam dengan seorang diisytiharkan sebagai kematian luar hospital.
Dua kematian itu berlaku di Selangor dan Kedah.
Sebanyak 35,660 kematian telah dikaitkan dengan Covid-19.
Pada bulan Mei, setakat ini 113 kematian Covid-19 telah direkodkan. – 29 Mei, 2022.

Komen