LEBIH 30 orang terbunuh di selatan Nigeria pada Sabtu dalam kejadian rempuhan semasa acara amal agihan makanan.
Kasut dan selipar berselerak di atas tanah selepas kejadian yang berlaku di bandar Port Harcourt di selatan Rivers State apabila orang ramai cuba memasuki acara itu, kata polis dan saksi.
Pertubuhan gereja berkenaan menawarkan makanan dan hadiah untuk golongan miskin di Kelab Polo Port Harcourt yang menyebabkan keadaan sesak dan hilang kawalan, kata polis Negeri Rivers.
“Malangnya, orang ramai menjadi kecoh dan tidak terkawal, dan semua usaha yang dilakukan oleh penganjur untuk mengawal keadaan terbukti gagal,” kata polis dalam satu kenyataan.
“Seramai 31 orang kehilangan nyawa dalam rempuhan itu.”
Imej tular di media sosial menunjukkan ahli keluarga mangsa menangis dan orang yang cedera menerima rawatan di luar hospital tentera di bandar itu.
Saksi berkata berlaku tolak menolak dan pijak memijak ketika orang ramai yang cuba masuk ke gereja berkenaan dipaksa berundur.
“Mereka memberitahu orang ramai ‘Balik, balik, balik,’” kata saksi Chisom Nwachukwu. “Sesetengah orang yang menolak dari belakang sedang mara ke arah mereka yang baru masuk.”
Polis berkata siasatan jenayah sedang dijalankan. – AFP, 29 Mei, 2022.
Komen