34 maut akibat banjir di Brazil 


Hujan lebat berterusan sejak Selasa menyebabkan tanah runtuh yang meragut sekurang-kurangnya 34 nyawa di Brazil.– Gambar EPA, 29 Mei, 2022.

HUJAN lebat yang melanda negeri Pernambuco di timur laut Brazil sejak Selasa menyebabkan sekurang-kurangnya 34 maut.

29 daripada kes kematian berkenaan berlaku pada hari sebelumnya, menurut kemas kini rasmi terkini.

“Sejak Rabu lalu hingga tengah hari Sabtu ini, 34 kematian direkodkan di negeri ini,” kata Pertahanan Awam dalam satu kenyataan.

Kejadian paling teruk berlaku awal pagi Sabtu apabila 19 orang maut dalam tanah runtuh di Jardim Monteverde, di sempadan antara ibu negeri Recife dan perbandaran Jaboatao dos Guararapes.

Enam lagi terbunuh dalam satu lagi tanah runtuh di perbandaran Camaragibe. Dua maut di Recife dan seorang lagi di Jaboatao dos Guararapes.

Lima yang lain mati awal minggu ini, menurut Pertahanan Awam.

Laporan akhbar tempatan berkata tiga maut akibat tanah runtuh di Olinda, dan orang keempat maut selepas terjatuh ke dalam terusan, juga di Olinda.

Hujan lebat juga memaksa hampir 1,000 orang meninggalkan kediaman mereka akibat banjir dan tanah runtuh.

Presiden Jair Bolsonaro, menerusi Twitter, menyatakan “kesedihan dan solidaritinya kepada mangsa bencana yang menyedihkan ini” dan berkata kerajaannya akan melakukan segala yang mungkin “untuk meringankan penderitaan.”

Beliau menambah bahawa pasukan dari Angkatan Tentera, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewarganegaraan sedang dikerahkan untuk membantu operasi bantuan dan menyediakan bantuan yang diperlukan kepada keluarga yang terjejas.” – AFP, 29 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen