Rugi teruk akibat banjir, peniaga tuntut penyelesaian segera


Ravin Palanisamy Noel Achariam

Pengusaha perniagaan di Kuala Lumpur panik setiap kali hujan lebat melanda bandaraya itu kerana bimbang kemungkinan banjir.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2022.

PENGUSAHA perniagaan di Kuala Lumpur kecewa dengan banjir kilat yang kerap berlaku tahun ini yang menjejaskan mata pencarian mereka.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight mereka mengalami kerugian berikutan kurang tindakan oleh pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah banjir.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur Ang Say Tee berkata perniagaan terjejas teruk setiap kali banjir melanda bandar itu.

“Ia teruk. Pelanggan tidak boleh datang ke sini dan kalau orang nak masuk KL pun tak boleh sebab sebahagian bandar ini ditenggelami air,” katanya.

Ang berkata, beliau telah mengingatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya sentiasa membersihkan longkang bagi mengelak banjir lagi.

“Kalau longkang tersumbat, bila hujan lebat pasti banjir.

“Saya tidak menafikan DBKL telah menjalankan tugasnya, tetapi mereka perlu berusaha lebih dan membersihkan kawasan itu secara berkala.

“Setiap kali hujan berlarutan, kami (peniaga) mula panik kerana sering mengalami banjir di bandar ini,” katanya.

Kuala Lumpur, yang menempatkan hampir dua juta penduduk, telah ditenggelami air sebanyak tiga kali tahun ini.

Selepas banjir terburuk di Malaysia pada Disember di Lembah Klang, Kuala Lumpur kembali dilanda bencana itu pada 7 Mac, 25 April dan 25 Mei.

Presiden Persatuan Peniaga Lebuh Ampang Abdul Rasull Abdul Razak berkata perniagaan di kawasannya mengalami kerugian setiap kali banjir.

Beliau berkata sebagai kawasan cetek, Lebuh Ampang sering dinaiki air dan beliau tidak melihat sebarang perkembangan positif sejak 25 tahun lalu.

“Lebuh Ampang berada pada tahap bahaya. Apabila sungai melimpah selepas hujan lebat, kami ditenggelami air,” kata Abdul Rasull.

“Air mengalir ke Lebuh Ampang dari kawasan sekitar dan longkang di sini tersumbat menyebabkan tempat itu dinaiki air. Kami masih belum melihat situasi yang semakin baik.”

Tiga tahap banjir

Abdul Rasull, yang mengusahakan kedai barang kemas, berkata perniagaan lain yang terjejas di Lebuh Ampang termasuk kedai bekalan, restoran, tekstil, hotel, kedai borong serta tukang jahit.

Beliau berkata mereka pernah mengalami tiga peringkat banjir di kawasan itu yang mana kategori satu paling teruk dan kategori tiga ringan.

“Kategori pertama adalah yang paling teruk yang mana air memasuki premis dan setinggi kira-kira 1.5 meter. Ia merosakkan premis perniagaan dan menyebabkan pengusaha kerugian hampir RM4,000 untuk membersihkan kedai mereka.

“Selain itu, apabila air naik melebihi 1.5m tinggi, hampir 30 hingga 40% stok rosak.

“Kategori dua ialah apabila paras air mencecah sehingga ke bendul pintu. Ini juga akan merosakkan perabot dan peralatan mereka.

“Kategori ketiga ialah air naik di tepi jalan dan surut dengan cepat,” katanya.

Abdul Rasull berkata banjir baru-baru ini Rabu lepas adalah dalam kategori tiga yang mana beliau mendakwa perniagaan bertuah kerana air tidak masuk ke premis mereka.

Beliau juga berkata pemilik kedai mengalami kesukaran untuk menyewa kedai mereka berikutan isu banjir yang berterusan.

“Walaupun kadar sewa dikurangkan, tiada siapa yang mahu menyewa di sini kerana isu banjir yang berterusan,” katanya.

Beliau juga berkata syarikat insurans juga tidak menyediakan perlindungan kepada perniagaan, dengan alasan banjir.

“Mereka melabelkan tempat kami sebagai kawasan mudah banjir dan mereka tidak mahu memberi kami perlindungan,” katanya.

Setiap pihak punya peranan

Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Mohamad Abdullah pula berkata banjir yang berlaku baru-baru ini tidak seteruk dua sebelumnya pada tahun ini.

Beliau berkata DBKL telah meningkatkan kerja pembersihan mereka di kebanyakan tempat dan menyebabkan semakin sedikit tempat yang ditenggelami air.

“Kita mesti beri kredit kepada DBKL atas apa yang mereka lakukan kerana berbanding sebelum ini, banjir sekarang tidaklah seteruk mana,” kata Mohamad.

“Kenderaan boleh lalu, penunggang penghantaran masih boleh mengutip dan menghantar makanan, air banjir tidak mengalir di dalam premis perniagaan kami.

“Jadi, terdapat banyak peningkatan dari sebelumnya, tetapi keadaan boleh menjadi lebih baik.”

Beliau berkata ia perlu menjadi usaha kolektif oleh orang ramai dan juga pihak berkuasa.

“Jika kita terus membuang sampah dan ia menyumbat saliran, maka kita tidak boleh terus menyalahkan pihak berkuasa apabila banjir.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk berhenti menyalahkan orang lain dan mula mendidik masyarakat supaya tidak membuang sampah di tempat awam tetapi membuang sampah mereka dengan betul,” katanya.

Awal bulan ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah berkata DBKL akan melaksanakan 14 langkah sementara dengan kos kira-kira RM10 juta di bawah Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat 2022 mulai bulan ini bagi menangani isu banjir kilat di ibu negara.

Mahadi berkata, insentif tambahan itu sedang dijalankan sebagai langkah segera sebelum penyelesaian jangka panjang, yang kini sedang disemak Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan dijangka siap April depan, dapat dilaksanakan.

Mahadi berkata mereka akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemantauan dan pembersihan bagi memastikan saluran keluar air di tepi jalan tidak tersumbat atau terhalang, sambil menambah bahawa ini akan dilaksanakan oleh Pasukan Penyampaian Perkhidmatan Awam yang diselia oleh DBKL. – 29 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen