Sidang khas Asean-Jepun bincang isu serantau, antarabangsa, kata PM


Perdana Menteri berkata, beliau menyatakan kepada Kishida Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ancaman terhadap kedaulatan di Laut China Selatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata sidang kemuncak khas Asean-Jepun akan diadakan bagi membincangkan dengan mendalam isu serantau dan antarabangsa.

Katanya, beliau mencadangkan sidang khas itu kepada Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida dalam pertemuan mereka di Tokyo pada Jumaat, bahawa Jepun perlu membuat libat urus bukan dengan Malaysia sahaja, tetapi Asean dan Kishida bersetuju untuk mengadakannya tahun depan.

“Asean, biasanya pendirian Asean, bukan pendirian negara secara berasingan,” katanya kepada wartawan Malaysia di Tokyo pada Sabtu, di akhir lawatan kerja rasminya ke Jepun.

Ismail Sabri berkata, beliau juga menyatakan kepada Kishida Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ancaman terhadap kedaulatannya di Laut China Selatan.

Beliau berkata, dalam mengendalikan isu Laut China Selatan yang kompleks dan hubungan antara negara, semua negara berkaitan perlu kekal komited dalam mengekalkan Laut China Selatan sebagai perairan yang bebas untuk pelayaran.

Katanya, tindakan yang diambil Malaysia apabila ada isu pencerobohan di Laut China Selatan adalah dalam bentuk bantahan dan rundingan dengan pihak terbabit.

“Bila ada isu berkaitan, kita selesaikan dengan rundingan,” katanya.

Berhubung konflik Russia-Ukraine, Ismail Sabri memaklumkan kepada Kishida Malaysia tidak menyokong sebarang pelanggaran prinsip asas seperti kedaulatan serta keutuhan wilayah setiap negara dan undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata, Malaysia juga bimbang mengenai kesan konflik itu termasuk yang dialami oleh negara yang tidak terlibat secara langsung dalam konflik berkenaan seperti kesan ke atas aspek jaminan bekalan makanan. – Bernama, 28 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen