Jangan buat spekulasi kedudukan Zuraida, kata Annuar


Annuar Musa tidak mahu sebarang spekulasi diperkatakan mengenai Zuraida Kamaruddin yang keluar Parti Bersatu pada Khamis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2022.

MENTERI Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa meminta supaya tiada sebarang spekulasi dibuat sehingga kedudukan ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin sebagai menteri diputuskan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Daripada apa yang saya baca, Zuraida akan bertemu dengan perdana menteri untuk berbincang soal kedudukan dan jawatan beliau. Ini bermakna, Zuraida masih lagi seorang menteri sehingga beliau adakan pertemuan dengan perdana menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri majlis ramah mesra Aidilfitri bersama komuniti Keluarga Malaysia dan rakyat Kelantan di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan di Padang Kala, Kota Bharu hari ini.

Annuar mengulas mengenai pengumuman Zuraida meninggalkan Parti Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain akan menemui Ismail Sabri bagi membincangkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi di dalam Kabinet, Khamis lalu.

Beliau berkata: “Mungkin apabila beliau (Zuraida) bertemu perdana menteri ia (peletakan jawatan) mungkin diterima, mungkin juga Perdana Menteri ada pandangan lain.

“Kita kena tunggu pertemuan itu dan tidak membuat sebarang spekulasi kerana ia proses biasa apabila seseorang menteri kalau berhasrat untuk letak jawatan,” katanya.

Soal pelantikan dan peletakan jawatan seseorang menteri adalah di bawah bidang kuasa perdana menteri, kata Annuar yang juga Ketua Bahagian Umno Ketereh. – Bernama, 28 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen