ASAS ekonomi kuat dan pengurusan ringgit secara berhemah dijangka menyumbang kepada pengukuhan mata wang tempatan berbanding dolar Amerika Syarikat (USD), kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Ini, katanya, boleh berlaku walaupun terdapat beberapa faktor sementara yang menyumbang kepada kejatuhan nilai semasa ringgit.
Zafrul berkata, faktor yang menyumbang kepada kejatuhan nilai adalah jangkaan terhadap situasi dasar monetari serta sekatan berterusan kecairan global.
Ini membimbangkan komuniti pelabur antarabangsa.
“Akibatnya, mereka memperuntukkan semula dana kepada aset yang memberi hasil lebih tinggi dalam mata wang USD.
“Ini menyebabkan kejatuhan nilai pelbagai mata wang global termasuk ringgit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga berkata ia disebabkan sekatan pergerakan di bandar-bandar utama, prospek pertumbuhan China dijangka merosot tahun ini sekali gus melemahkan Yuan.
“Selain itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan ramalan mereka untuk China kepada 4.4% (2021: 8.1%).
“Ini memberi kesan kepada ringgit kerana jumlah dagangan Malaysia-China adalah ketara, dengan eksport ke China menyumbang 10.7% daripada KDNK (berbanding 2.1% di Indonesia dan 1.3% di Thailand).
“Malah keadaan tidak menentu susulan ketegangan geopolitik global memberi tekanan kepada ekonomi global.”
Zafrul berkata, ini dicerminkan dalam nilai VIX, atau “indeks kebimbangan” pelabur yang meningkat kepada 25.7 mata (29 Mei 2022) daripada purata 18 mata sebelumnya.
“Ini juga menyebabkan pelabur berpusu-pusu kepada “aset selamat” (seperti emas dan dolar AS), memberikan tekanan terhadap pelbagai mata wang, termasuk ringgit.” – 28 Mei, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen