SERAMAI 26 orang dilaporkan hilang hari ini selepas sebuah feri kehabisan minyak dan karam dalam cuaca buruk di luar pantai Indonesia, kata pegawai.
Agensi mencari dan menyelamat negara itu berkata, kapal itu membawa 43 orang ketika ia terbalik pada Khamis di Selat Makassar, laut yang memisahkan pulau Sulawesi dan Borneo.
Berita mengenai kemalangan itu hanya sampai kepada pegawai hari ini, ketua mencari dan menyelamat tempatan Djuanidi, memberitahu AFP.
“Tujuh belas orang diselamatkan oleh dua bot tunda yang sedang melaluinya. Kami mengerahkan pasukan penyelamat untuk mencari mangsa yang hilang,” katanya.
Sekumpulan 40 penyelamat berada di laut mencari mangsa yang terselamat, jelas Djuanidi.
Kemalangan marin satu perkara biasa di Indonesia, negara Asia Tenggara dengan sekitar 17,000 pulau yang mana piawaian keselamatan sering longgar.
Minggu lalu sebuah feri yang membawa lebih 800 orang terkandas di perairan cetek di wilayah Nusa Tenggara Timur dan terperangkap selama dua hari sebelum berjaya dibebaskan.
Tiada siapa yang cedera.
Pada 2018 lebih 150 orang mati lemas apabila sebuah feri karam di salah satu tasik paling dalam di dunia di pulau Sumatera. – AFP, 28 Mei, 2022.
Komen