AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan 12 nelayan warga Vietnam dan merampas dua bot tunda pada kedudukan 36.4 dan 36.7 batu nautika dari muara Tok Bali, semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kelantan Khairun Dalilah Baharin berkata kedua-dua tangkapan dan rampasan itu dilakukan kru bot ronda Pos Maritim Pengkalan Kubor, Tumpat yang sedang melaksanakan Op Naga Barat dan Op Damai Siri 32/2022.
“Bot pertama bersama 10 kru termasuk tekong dikesan pada jam 1.05 pagi pada kedudukan 36.4 batu nautika, kehadiran anggota penguat kuasa APMM menyebabkan bot nelayan asing itu bertindak melarikan diri namun mereka berjaya ditahan pada jam 1.30 pagi,” katanya pada sidang media di Pasir Puteh hari ini.
Khairun Dalilah berkata, bot kedua bersama dua kru termasuk tekong dikesan pada jam 1.45 pagi pada kedudukan 36.7 batu nautika dan ditahan 15 minit kemudian.
“Semua nelayan berusia antara 25 hingga 61 tahun bersama bot ditunda ke ibu pejabat APMM Tok Bali.
“Selain bot turut dirampas peralatan menangkap ikan, pelbagai jenis ikan seberat 600 kilogram serta 3,000 liter minyak diesel. Nilai rampasan dianggarkan lebih RM2 juta,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM6 juta bagi setiap tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru selain bot dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucut hak,” katanya.
Khairun Dalilah berkata, APMM Kelantan akan terus melakukan rondaan sepanjang masa berikutan maklumat yang diperoleh menyatakan terdapat lapan hingga 10 bot nelayan asing sedang berada di perairan antarabangsa dan akan memasuki perairan negara terutama di kawasan pelantar minyak.
“Kita sedang bekerjasama dengan pihak pelantar minyak yang berada di kawasan terbabit dengan memberikan maklumat mengenai pencerobohan sekiranya berlaku,” katanya. – Bernama, 28 Mei, 2022.
Komen