Belawai mampu jadi seperti Hawaii, kata Premier Sarawak


Memiliki pantai semula jadi yang indah, Belawai dijangka mampu setanding Hawaii, kata Premier Sarawak Abang Johari Openg. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2022.

BELAWAI, sebuah penempatan pesisiran pantai di bahagian tengah Sarawak kira-kira 480km ke utara Kuching, boleh dibangunkan sebagai lokasi pelancongan yang dapat menandingi pusat pelancongan luar negara seperti Hawaii, kata Premier Sarawak Abang Johari Openg.

Beliau berkata, dengan keadaan pantai semula jadi yang indah, kerajaan negeri bersedia membangunkan infrastruktur seperti projek tebingan sungai dan pelbagai kemudahan lain bagi menarik kehadiran pelancong ke kawasan itu.

“Selain waterfront, kita boleh juga membina motor home park untuk tempat parkir motorhome serta tempat menyambung bekalan elektrik dan air. Kalau kita dapat buat di sini, seperti negeri orang putihlah Belawai ni. Belawai jadi Hawaii,” katanya.

Berucap pada majlis Hari Raya Aidilfitri di Belawai hari ini, beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi menterinya Nancy Shukri bercadang mempromosikan pelancongan menggunakan konsep motorhome atau van perkhemahan.

“Dengan siapnya projek Jalan Pesisiran Sarawak nanti, mudahlah pelancong datang ke sini menggunakan motorhome mereka dan rakyat di sini juga akan memperoleh rezeki daripada kedatangan mereka,” kata Abang Johari. – Bernama, 28 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen