Paksa penjawat awam guna Bahasa Malaysia regresif, kata Rafidah Aziz


Alfian Z.M. Tahir

Rafidah Aziz berkata, kecekapan penjawat awam dalam bahasa Inggeris pernah menjadi pemacu utama dalam menarik pelaburan asing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2022.

MEMAKSA penggunaan Bahasa Malaysia (BM) dalam semua majlis rasmi termasuk pada mesyuarat antarabangsa satu tindakan regresif, kata bekas menteri Rafidah Aziz hari ini.

Beliau berkata, penjawat awam sebaliknya perlu meningkatkan penguasaan mereka dalam bahasa Inggeris, termasuk bahasa lain yang berkaitan.

“Saya bersimpati dengan pegawai kementerian perdagangan antarabangsa (Miti) dan pihak lain yang masih perlu berurusan dengan masyarakat antarabangsa, sekiranya mereka terpaksa mematuhi penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi.

“Kita harus maju dan bergerak ke hadapan, bukan mundur dan meluncur ke belakang dan ke bawah,” katanya dalam catatan Facebook.

Beliau berkata, kecekapan penjawat awam dalam bahasa Inggeris pernah menjadi pemacu utama dalam menarik pelaburan asing berkualiti tinggi.

Rafidah mengecam kenyataan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali yang menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempertimbangkan langkah hukuman untuk “menguatkuasakan” penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi dengan seluruh dunia.

Rafidah berkata, semasa menjadi menteri di Miti, beliau mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris bagi memastikan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatannya.

“Setiap tahun, sektor swasta memberi penghormatan kepada Miti dengan anugerah perusahaan tahunan. Komunikasi dipermudah dan berkesan.

“Visi dan titik rujukan adalah ‘Malaysia dalam infrastruktur serantau dan global’. Bukan Malaysia dalam ‘syok sendiri’, kepompong kecil.

“Jika pemikiran berwawasan sebegini berterusan, dengan penalti dikenakan kerana berkomunikasi dengan seluruh dunia dalam bahasa Inggeris, maka kita akan menjadi paria birokrasi di Asean,” kata Rafidah yang juga dikenali sebagai Wanita Besi.

Baru-baru ini, semasa berucap pada simposium menggalakkan penggunaan bahasa Melayu pada mesyuarat Asean dan antarabangsa, Zuki menyeru JPA mempertimbangkan langkah pembetulan dan hukuman bagi menguatkuasakan penggunaan BM dalam perkhidmatan awam dan lain-lain agensi berkaitan kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berkata, beliau ingin melihat sepenuhnya pematuhan dasar kerajaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa bahasa kebangsaan digunakan bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Pada Februari lalu, Ismail berkata, Malaysia akan menggunakan bahasa Malaysia dalam semua majlis rasmi yang disertainya, termasuk mesyuarat antarabangsa, sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan bahasa kebangsaan.

Beliau menggunakan Bahasa Malaysia semasa mengadakan mesyuarat dua hala dan sidang akhbar bersama semasa lawatan rasmi ke Brunei, Kemboja dan Thailand. – 28 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen