LAWATAN kerja Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke Jepun memberi impak positif dan suntikan baharu kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia, menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar.
Beliau berkata, lawatan kerja perdana menteri itu satu langkah proaktif bagi menggiatkan sektor ekonomi di Malaysia, seterusnya mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dengan Jepun.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dengan usaha yang memberi impak positif dan suntikan baharu kepada sektor PKS di Malaysia agar terus berkembang pesat terutamanya selepas pandemik,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ismail Sabri mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jepun selama enam hari sejak Isnin lalu dan bertemu rakan sejawatnya Fumio Kishida serta eksekutif tertinggi dan ketua pegawai eksekutif (CEO) 23 syarikat terkemuka Jepun.
Semasa lawatan itu, perdana menteri menyertai sesi ramah mesra dan penyerahan dokumen bersama syarikat Jepun dan bertemu pemain industri dari syarikat pelbagai bidang termasuk minyak dan gas, pembuatan serta perkhidmatan bagi mengintai peluang pelaburan.
Noh berkata, Ismail Sabri dalam pertemuan bersama Presiden dan CEO Mitsui Fudosan Co Ltd, Masanobu Komoda turut membincangkan potensi Malaysia sebagai hab penting bagi mengembangkan perniagaan dan pelaburan Mitsui Fudosan.
“Terbaharu, syarikat multinasional itu sudah bertapak di Bukit Bintang City Centre (BBCC) dengan nilai pelaburan berjumlah RM1.8 bilion dan projek itu membabitkan usaha sama agensi di bawah kementerian, UDA Holdings Berhad.
“Pelaburan itu mewujudkan banyak peluang pekerjaan serta membantu memperkasakan bangsa usahawan menerusi penyediaan ruang perniagaan bertaraf antarabangsa di lokasi strategik,” katanya.
Menurut Noh, usahawan khususnya PKS harus mengambil peluang untuk memperkasa perniagaan ke peringkat lebih tinggi. – Bernama, 28 Mei, 2022.
Komen