POLIS Iran melepaskan gas pemedih mata dan tembakan amaran untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang merusuh selepas sebuah blok menara runtuh mengorbankan 28 nyawa di bandar barat daya Abadan, lapor media tempatan, hari ini.
Sebahagian besar bangunan 10 tingkat Metropol yang sedang dalam pembinaan di Abadan, Khuzestan runtuh Isnin lalu. Ia adalah kejadian terburuk berlaku di Iran dalam tempoh beberapa tahun.
Ini adalah malam ketiga rusuhan di Abadan dan bandar lain di wilayah itu yang bersempadan dengan Iraq, lapor media tempatan.
Pasukan keselamatan di Abadan “menggunakan gas pemedih mata dan melepaskan tembakan ke udara berhampiran tapak runtuhan” semalam untuk menyuraikan ratusan penunjuk perasaan, yang meratapi mangsa yang terkorban dan menuntut keadilan bagi pelaku kejadian itu, kata agensi berita Fars.
Sebahagiannya menjerit “mati kepada pegawai yang tidak cekap” dan “pegawai yang tidak cekap mesti dihukum mati”, sama seperti gesaan dalam rusuhan pada malam Rabu dan Khamis, tambahnya.
Sementara itu, agensi berita Fars turut menyiarkan satu lagi rusuhan di Bandar-e Mahshahr, Khuzestan. Penunjuk perasaan dilihat berarak sambil melaungkan bantahan dan memukul gendang.
Rakyat turut turun ke jalan lebih jauh termasuk di bandar tengah Iran di Isfahan, Yazd dan Shahin Shahr pada Jumaat untuk menyatakan simpati kepada mangsa tragedi itu, kata agensi berita Fars.
Pada malam Khamis, sebuah kedai di Abadan milik keluarga pemilik bangunan itu “dibakar dan dimusnahkan individu tidak dikenali,” lapor agensi berita Tasnim sebelum ini.
Menurut agensi berita IRNA, Menteri Dalam Negeri Ahmad Vahidi yang berada di Abadan berkata “dua lagi mayat ditemui” dan dihantar untuk pengecaman, menjadikan jumlah kematian kepada 28.
Pegawai, bagaimanapun, belum mengumumkan berapa ramai orang yang masih terperangkap di bawah runtuhan. – AFP, 28 Mei, 2022.
Komen