Kerajaan tak dapat tampung subsidi makanan kerana PH mansuh GST, kata Najib


Diyana Ibrahim

Najib mendakwa beliau meramal harga barang makanan akan naik sejak tahun lepas lagi dan memberi pelbagai cadangan dalam usaha mengatasi krisis itu. – Gambar Facebook Najib Razak, 28 Mei, 2022.

KERAJAAN tidak dapat menampung subsidi makanan akibat daripada tindakan Pakatan Harapan yang memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST), kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Beliau berkata, jika GST tidak dimansuhkan sudah tentu kerajaan dapat menggunakan hasil RM30 bilion dari cukai itu untuk memberikan subsidi yang dapat menstabilkan harga makanan.

Najib mendakwa beliau meramal harga barang makanan akan naik sejak tahun lepas lagi dan memberi pelbagai cadangan dalam usaha mengatasi krisis tersebut.

“Saya dah buat (kenyataan) isu ini sejak tahun lepas lagi saya dah ramalkan lama bahawa kos barang makanan akan naik dan cadang beberapa langkah yang boleh dibuat.

“Kita kena faham punca kemampuan kita sudah berkurangan. Apabila hasil cukai GST telah dihapuskan kerajaan PH.

“Kalau tidak kita mempunyai lebih RM30 bilion setahun yang akan digunakan untuk subsidi kepada bahan barang makanan,” katanya selepas menghadiri majlis Hari Raya Aidilfitri Umno Marang di Terengganu hari ini.

Katanya, barang makanan terutama ayam berkurangan dan mahal disebabkan kebergantungan negara kepada import makanan.

Selain itu gangguan rantaian bekalan akibat perang Rusia-Ukraine, kejatuhan nilai ringgit juga meningkatkan harga bekalan.

Walaupun mengimport 60% keperluan makanan, Malaysia mengeluarkan kira-kira 98.2% produk ayam bagi pasaran domestik.

Pada masa sama beliau juga mahu perdana menteri memastikan untuk melaksanakan lima langkah yang diumumkannya bagi menstabilkan harga makanan.

“Saya tengok perdana menteri ada buat beberapa kenyataan lima langkah baharu ini, dan kita kena pastikan langkah ini dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin mengumumkan eksport ayam dihentikan bermula 1 Jun sebagai langkah jangka pendek menstabilkan bekalan.

Ismail juga mengumumkan pemansuhan AP ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan peluang penglibatan pengimport bagi menyediakan lebih banyak sumber bekalan.

Kerajaan juga membuat ketetapan menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam. – 28 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen