PEMIMPIN parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sependapat parti gabungan itu platform terbaik untuk memperjuangkan hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Sabah Jeffrey Kitingan berkata GRS juga wadah terbaik untuk membangunkan Sabah sehingga mampu menjadi negeri termaju di Malaysia.
“Hari ini sejarah politik bagi Sabah apabila hampir semua pemimpin parti di negeri ini dapat bersama-sama dalam satu perjuangan demi rakyat Sabah.
“Kesedaran pemimpin Sabah menjadikan GRS sebagai wadah perjuangan ‘Sabah First, Sayangi Sabah’. Pemimpin belajar kesilapan masa lampau. Atas kesedaran itu, hari ini kita bersatu bersama pemimpin politik yang ada pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kota Kinabalu hari ini yang dirasmikan Pengerusi GRS Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah.
GRS kini disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Star Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Parti Maju Sabah (SAPP).
Terdapat lagi beberapa parti yang memohon menyertai GRS antaranya Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
Sementara itu, Presiden PBS Maximus Ongkili berkata, perjuangan GRS dalam mempertahankan hak negeri dan rakyat Sabah, seperti yang termaktub dalam MA63 sememangnya murni.
“Bagi kami di PBS, perjuangan MA63 amat sinonim dengan PBS yang kini berusia 37 tahun. Berbekalkan pengalaman lebih tiga dekad, PBS ingin menyeru kepada rakan dalam GRS supaya tidak gentar atau malu untuk memperjuangkan hak kita, apatah lagi yang termaktub dalam MA63.
“Menyentuh mengenai hak kita, satu perkara yang perlu didukung GRS adalah mengembalikan autonomi kuasa imigresen kepada Kerajaan Sabah. Di Sarawak, isu berkaitan imigresen antara empat perkara yang dianggap ‘non-negotiable’ atau tidak boleh dibawa berunding,” tegasnya.
Beliau berkata, GRS mampu mengukuhkan lagi perjuangan komponen parti demi negeri dan rakyat Sabah.
Presiden SAPP, Yong Teck Lee pula berkata, penubuhan GRS perkara yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Sabah.
“Inilah yang rakyat Sabah mahu. Mereka mahu pemimpin parti di Sabah bersatu, sama-sama memperjuangkan hak kita di Sabah. Harap-harap pemimpin dan ahli GRS sentiasa bersikap terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang mahu membantu menyumbangkan tenaga dan fikiran kepada GRS,” katnya.
Sementara itu, Presiden USNO Amin Mulia berkata, sebab utama USNO menyertai GRS kerana percaya hanya melalui gabungan berkenaan rakyat Sabah boleh bersatu.
“Kita mahu menyumbang tenaga dan fikiran kepada GRS… kita mahu berjuang bersama-sama demi memajukan Sabah… kita mahu bersama-sama memperjuangkan hak Sabah dan GRS adalah wadah terbaik untuk kita berjuang,” katanya. – Bernama, 28 Mei, 2022.
Komen