Ahli Parlimen DAP persoal tindakan UUM larang pelajar sertai acara berkaitan Vinosiny


AHLI Parlimen Klang Charles Santiago mempersoalkan keperluan Universiti Utara Malaysia (UUM) mengeluarkan amaran kepada pelajar supaya tidak mengadakan atau menghadiri sebarang acara berkaitan kematian Vinosiny Sivakumar.

Dalam satu kenyataan, ahli Parlimen DAP itu mempersoalkan sama ada pihak universiti mempunyai sesuatu disembunyikan susulan kematian mengejut pelajar berusia 20 tahun itu di dalam biliknya di kampus Sintok UUM, Kedah pada Sabtu lepas.

“Vigil dan perhimpunan adalah untuk menunjukkan solidariti dengan Vinosiny dan keluarganya. Justeru, mengapa UUM melarang dan mengugut pelajar dengan tindakan tatatertib? Adakah universiti mempunyai sesuatu yang disembunyikan?”

“Polis dan universiti mempunyai peranan berbeza. Walaupun siasatan sedang dijalankan, tidak ada salahnya membenarkan pelajar bersedih bersama. Larangan yang begitu keras hanya menimbulkan syak wasangka,” katanya.

Polis Kedah berkata kemungkinan punca kematian Vinosiny adalah terkena renjatan elektrik, tetapi menambah punca sebenar akan ditentukan selepas bedah siasat.

R Sivakumar, 53, berkata anak perempuannya merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) semester empat dan pulang ke kampus hanya seminggu sebelum kejadian.

Beliau berkata badan Vinosiny mempunyai kesan melecur yang jelas di muka dan tangan kanan serta perubahan warna pada dua jari.

Sivakumar berkata beliau melihat perkara itu ketika melihat mayat di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar.

Vinosiny, yang memakai cermin mata, ditemui di atas lantai. Komputer ribanya masih terbuka di atas meja dan memakai fon kepala tanpa wayar. Sekeping kek dimakan separuh juga ada di atas mejanya.

Santiago turut menggesa menteri pengajian tinggi campur tangan bagi membolehkan pelajar mengucapkan takziah kepada keluarga.

Beliau menyifatkan budaya mendiamkan suara pelajar adalah melanggar kebebasan bersuara dan berhimpun.

“Ia tidak boleh terus berlaku di universiti kita. Saya berdiri dalam solidariti dengan pelajar dan ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada ibu bapa dan ahli keluarga Vinosiny,” kata Santiago.

Sementara itu, seorang pelajar UUM memberitahu The Malaysian Insight yang pekeliling itu dihantar petang semalam.

Pelajar yang enggan namanya didedahkan, berkata ia dihantar kepada semua orang di universiti termasuk ke kampus.

“Notis itu tulen dan diedarkan semalam kira-kira jam 5 petang. Di dalamnya, pelajar diberi amaran supaya tidak mengadakan vigil atau perhimpunan untuk si mati,” kata pelajar itu. – 28 Mei, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen