MENAIKKAN harga petrol tanpa menyediakan pengangkutan awam yang baik bagi sekurang-kurangnya 40% hingga 50% penduduk akan menyebabkan golongan berpendapatan rendah terpaksa beralih menggunakan motosikal, kata Liew Chin Tong.
Timbalan setiausaha agung DAP itu berkata kajian menunjukkan angka kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia meningkat setiap kali harga petrol naik.
“Memang ada kaitan antara kenaikan harga petrol dan jumlah orang mengubah penggunaan kereta kepada motosikal, dan dengan itu meningkatkan jumlah kematian dan kemalangan jalan raya.
“Usaha pesat perlu dilaksanakan untuk meluaskan perkhidmatan bas dan pengangkutan awam lain untuk membolehkan 40% hingga 50% rakyat mendapat akses kepada sistem pengangkutan awam yang baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adun Perling itu mengulas kenaikan mendadak harga petrol RON97 sebanyak 37 sen kepada RM4.70 seliter bermula 26 Mei hingga 1 Jun ini, yang diumum Kementerian Kewangan pada Rabu.
Kementerian itu berkata harga runcit petrol RON95 dan diesel kekal pada harga RM2.05 seliter serta RM2.15 seliter.
Kerajaan mengekalkan paras harga siling RM2.05 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.15 seliter bagi diesel walaupun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk meningkat melebihi harga paras siling yang ditetapkan, kata kementerian.
Liew juga berkata setiap kali harga petrol mencecah AS$100 setong, akan timbul gesaan yang menuntut supaya subsidi dikurangkan.
“Menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, dengan harga minyak mentah yang tinggi sekarang, subsidi untuk petrol sahaja dijangka meningkat menjadi RM30 bilion tahun ini, iaitu hampir dua kali ganda daripada peruntukan asal,” katanya.
Liew turut mengulas gesaan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke supaya kerajaan segera menangani masalah trafik yang semakin teruk, terutamanya di bandar-bandar utama.
“Saya bersetuju dengan Anthony yang menyatakan bahawa ahli-ahli politik daripada kedua-dua belah pihak perlu mengurangkan cakap-cakap tentang kaum dan agama tetapi menumpukan kepada usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Kita sepatutnya berbincang hal-hal yang lebih penting dalam hidup seperti bekalan makanan, kesesakan lalu lintas, pengangkutan awam dan penebatan banjir kerana semua ini melibatkan kita sebagai rakyat Malaysia, dan ia merentasi semua kaum dan agama,” katanya. – 28 Mei, 2022.
Komen