ZURAIDA Kamarudin masih dapat hadir mesyuarat Kabinet pada Rabu depan kerana kedudukannya sebagai menteri masih belum diputuskan, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Jelasnya, beliau akan memanggil menteri perladangan dan komoditi itu terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada Zuraida perlu berhenti dari jawatan berkenaan.
“Setakat ini dia masih boleh hadir (mesyuarat Kabinet Rabu). Dia masih tak letak jawatan sebagai menteri Kabinet dan saya pun tak pecat dia sebagai menteri Kabinet.
“Dia masih lagi menteri Kabinet sehingga mesyuarat Kabinet hari Rabu ini, sehingga dia berjumpa saya. Dan walaupun dia berjumpa saya, saya tak tahu buat keputusan atau tidak..
“Sehingga saya memutuskan dia berhenti sebagai menteri dan saya lantik menteri lain… Jadi kita tak tahu lagi apa sebenarnya. Jadi sebelum itu teruskan seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Tokyo ketika ditanya mengenai status Zuraida yang mengumumkan keluar parti Bersatu bagi menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Ismail juga berkata, beliau menghormati pandangan pemimpin parti dalam gabungan yang membentuk kerajaan pada waktu ini.
“Semua orang berhak beri pandangan dan saya menghormati pandangan yang diberi.
“Ini mungkin dijadikan landasan kepada saya untuk buat keputusan seterusnya tapi setakat ini tiada sebarang keputusan,” katanya.
Zuraida mengumumkan keluar Bersatu Khamis, namun PBM hanya akan memutuskan penyertaannya ke adalam parti baharu itu selepas 7 Jun.
Presiden parti tersebut Larry Sng berada di luar negara dan hanya akan kembali pada tarikh tersebut.
Susulan pengumuman Zuraida, Umno menegaskan agar jawatan Zuraida dalam Kabinet diisi oleh wakil rakyat yang setia dan tidak melompat parti.
Bersatu pula menuntut agar jawatan menteri perladangan dan komoditi tetap diisi oleh wakil rakyat dari parti tersebut.
Presidennya Muhyiddin Yassin berkata beliau akan mengemukakan satu nama kepada Ismail sebagai calon untuk mengisi jawatan Zuraida. – 28 Mei, 2022.
Komen