PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) berkata kes cacar monyet yang dikesan di beberapa negara setakat ini perlu dibendung segera sebelum ia tersebar meluas di seluruh dunia.
“Kita tidak tahu jika ini baru permulaan,” kata Pengarah Pasukan Kesiapsiagaan Bahaya Penyakit Berjangkit WHO Sylvie Briand dalam taklimat mengenai virus itu.
Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) mengesahkan sebanyak 219 kes dilaporkan sejak Britain mengesahkan kes pertama pada 7 Mei lalu.
Penyakit cacar monyet lazimnya dilaporkan (endemik) di Afrika barat dan tengah, tetapi kini dikesan di lebih 20 negara bukan endemik termasuk Amerika Syarikat, Australia, Emiriah Bersatu dan beberapa negara Eropah.
Kementerian Kesihatan Sepanyol semalam mengesahkan 98 kes di negara itu, manakala 90 kes di Britain. Sementara itu 74 kes pula di Portugal, dengan semua kes membabitkan lelaki berumur bawah 40 tahun.
“Kita masih di peringkat awal. Mungkin banyak lagi kes akan dilaporkan, tetapi jangan panik.
“Ini bukan penyakit seperti Covid-19 atau penyakit lain yang mudah merebak,” katanya.
Cacar monyet adalah virus yang boleh menyebabkan gejala termasuk demam, sengal otot dan ruam. – AFP, 28 Mei, 2022.
Komen