Korban menara runtuh di Iran meningkat, penunjuk perasaan tuntut keadilan


Naib Presiden Iran Mohammad Mokhber (tengah) melawat tapak runtuhan menara di Abadan, Iran, semalam. Kejadian itu meragut 26 nyawa. – Gambar EPA, 28 Mei, 2022.

RATUSAN penunjuk perasaan turun ke jalanan di barat daya Iran menuntut keadilan selepas blok menara runtuh mengorbankan 26 orang, kata saluran berita di republik Islam itu pada Jumaat.

Sebahagian besar bangunan Metropol 10 tingkat yang sedang dalam pembinaan di bandar Abadan runtuh pada Isnin dalam antara bencana yang paling banyak meragut nayawa di Iran dalam beberapa tahun.

Imej yang diterbitkan oleh agensi berita Fars menunjukkan ratusan penduduk berarak di sepanjang jalan Abadan pada malam Khamis, meratapi mereka yang kehilangan nyawa dengan memukul gendang tradisional dan simbal.

Ada yang menjerit “Kematian kepada pegawai yang tidak cekap” dan melaungkan “Syahid Metropol”, kata Fars.

Sebuah kedai di Abadan milik keluarga pemilik bangunan itu “dibakar dan dimusnahkan oleh individu tidak dikenali pada malam Khamis,” lapor agensi berita Tasnim.

Orang ramai juga turun ke jalan sekitar Khorramshahr, bandar lain di wilayah Khuzestan, menggesa perbicaraan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab, tambahnya.

Bantahan yang sama juga diadakan di Abadan pada malam Rabu, lapor televisyen kerajaan.

Lebih empat hari selepas blok menara itu runtuh, pasukan penyelamat masih mencari mayat dari bawah kepingan simen.

Sebuah video yang disiarkan di laman web agensi berita Tasnim pada Jumaat menunjukkan penyelamat membawa pengusung dengan mayat dibungkus dalam beg hitam.

Ia adalah satu daripada dua lagi mayat yang ditemui pada siang hari, menjadikan jumlah kematian sebanyak 26, lapor televisyen kerajaan.

Pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei menggesa mereka yang bertanggungjawab didakwa dan dihukum, dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web rasminya pada Khamis.

Badan kehakiman wilayah berkata sekurang-kurangnya 10 orang ditangkap, termasuk datuk bandar dan dua bekas datuk bandar.

Naib Presiden Pertama Mohammad Mokhber melawat Abadan pada Jumaat untuk “menyiasat dimensi bangunan runtuh”, lapor media Iran.

“Pada pendapat saya, rasuah berleluasa wujud antara kontraktor, pembina, penyelia dan sistem pelesenan,” kata Mokhber kepada televisyen negeri. “Bangunan itu dalam keadaan sangat teruk.”

Pada Januari 2017, sebanyak 22 orang termasuk 16 anggota bomba, maut dalam kebakaran yang berlaku di pusat beli-belah 15 tingkat, Plasco di Tehran. – AFP, 28 Mei, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen