Keputusan rasmi Zuraida sertai PBM diumum selepas 7 Jun, kata presiden


Presiden PBM Larry Sng akan umum keputusan rasmi permohonan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin untuk menyertai partinya selepas beliau pulang dari luar negara, iaitu selepas 7 Jun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2022.

KEPUTUSAN rasmi berhubung permohonan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan diumumkan oleh presiden parti itu Larry Sng, setelah beliau kembali dari luar negara.

Sng dalam kenyataan hari ini memaklumkan beliau akan berlepas ke luar negara hari ini dan dijangka pulang ke tanah air pada 7 Jun nanti.

“Saya baru dimaklumkan tentang pengumuman Yang Berhormat Datuk Zuraida Kamaruddin yang berhasrat menyertai PBM.

“Kami akan membuat pengumuman rasmi mengenai keputusan kemasukannya apabila saya balik dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata pimpinan pusat parti akan membincangkan permohonan tersebut kerana ia adalah sebahagian daripada proses yang wajar dalam permohonan keahlian.

“Saya ingin mengulangi bahawa PBM mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berkongsi perjuangan parti,” katanya.

Semalam, Zuraida yang sebelum ini ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan menyertai PBM kerana tertarik dengan perjuangan parti berkenaan dan meletakkan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. – Bernama, 27 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen