Kami masih agih bantuan, kata aktivis kebajikan


Aminah Farid

Pengasas Hope Brand Dr Jezamine Lim berkata badan bukan berasaskan keuntungan itu masih membuat agihan makanan bagi membantu gelandangan dan mereka dalam kumpulan B40. – Gambar fail Hope Brand, 28 Mei, 2022.

SEMASA pandemik Covid-19 ramai rakyat Malaysia tampil menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas dan ada yang terus berbuat demikian sehingga hari ini seperti Hope Branch, From The People Food Bank dan Siamy Tan.

Pengasas inisiatif bantuan ini memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka masih menyampaikan permintaan bantuan dalam bentuk sumbangan, makanan dan keperluan lain.

Dr Jezamine Lim yang mengasaskan Hope Brand pada November 2020 berkata badan bukan berasaskan keuntungan itu masih membuat agihan makanan bagi membantu gelandangan dan mereka dalam kumpulan B40 di Kuala Lumpur selama empat kali seminggu.

Beliau berkata Hope Branch juga terus membantu golongan B40 dan yang tinggal di rumah kos rendah (PPR) membeli-belah barangan runcit serta bantuan tunai bagi membayar hutang sewa mereka.

“Kami juga memberikan peralatan elektrik seperti mesin basuh, cerek, dapur periuk nasi dan peti ais walaupun ini untuk mangsa pasca banjir.

“Kami masih menerima permintaan kerana ramai daripada mereka sebenarnya masih belum pulih dan ada di antara mereka yang segan untuk meminta bantuan, jadi baru sekarang mereka mencari. Masalah itu masih berterusan,” katanya.

Beliau berkata orang ramai masih meminta bantuan terutama mereka yang tinggal bersendirian, orang kurang upaya (OKU) atau mereka yang mempunyai ahli keluarga yang sakit dan memerlukan bantuan kewangan untuk perbelanjaan hospital.

Cheska Tatiana Ridzuan, 26, pengasas bersama From The People Food Bank berkata mereka masih menghantar bantuan makanan setiap minggu walaupun terpaksa mengurangkan daripada 1,000 pek yang biasa mereka hantar semasa awal wabak itu kepada hanya 20 pek setiap minggu.

Beliau berkata bank makanannya masih menerima permintaan untuk bantuan makanan terutamanya semasa perayaan seperti Hari Raya dan musim banjir.

Beras, barangan kering, susu formula, lampin bayi, sayur-sayuran segar dan ayam adalah antara barangan yang dihantar oleh pasukan Cheska kepada penerima.

Pengasas bersama The People Food Bank Cheska Tatiana Ridzuan berkata permintaan mungkin berkurangan dalam beberapa bulan kebelakangan ini tetapi orang ramai masih memerlukan bantuan. – Gambar The People Food Bank, 27 Mei 2022.

“Makanan dan dana masih disumbangkan kepada NGO itu namun dalam skala yang lebih kecil berbanding sebelum ini.

“Saya berpendapat keadaan masih belum pulih seperti biasa, masih ramai keluarga yang bergelut untuk menampung kehidupan berikutan kenaikan kos barangan.

“Walaupun kami memberi perkhidmatan kepada bilangan isi rumah yang berkurangan, permintaan masih kekal,” katanya.

Sementara itu Siamy Tan, seorang arkitek berusia 54 tahun yang pada Mei tahun lalu mengumpulkan sekumpulan rakyat Malaysia untuk menyediakan makanan dan menghidangkan di rumah kepada golongan yang kurang bernasib baik berkata inisiatif bantuannya sejak itu semakin perlahan.

“Kali terakhir kami membuat 60,000 hidangan selama enam bulan dari Mei hingga November 2021 tetapi kini semuanya kembali normal jadi penaja juga berkurangan.

“Kini kami melakukannya secara rawak apabila saya mempunyai dana,” katanya sambil menambah bahawa beliau masih menerima permintaan bantuan makanan.

Siamy Tan berkata beliau masih menerima permintaan bantuan makanan walaupun kini ia semakin berkurangan. – Gambar Siamy Tan, 27 Mei, 2022.

Pada 15 Mei beliau menghantar 600 pek makanan yang dimasak sendiri kepada masyarakat kurang berkemampuan di Lapang Senapang Pulau Pinang dan Sg Pinang di Pulau Pinang.

“Hidangkan mereka dengan sate, nasi lemak, kuih dan kek…sesuatu untuk menceriakan mereka,” katanya. – 28 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen