PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin menegaskan parti itu akan menyerahkan satu nama bagi menggantikan Zuraida Kamaruddin yang meletak jawatan sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi.
Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh berkata, ini kerana jawatan menteri yang disandang bekas naib presiden Bersatu itu adalah milik parti tersebut.
“Saya akan mengemukakan satu nama baru kepada perdana menteri dalam masa terdekat untuk dilantik sebagai anggota Kabinet.
“Memandangkan kedudukan Zuraida sebagai menteri adalah atas kuota Bersatu,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.
Zuraida hari ini mengumumkan perletakan jawatan sebagai menteri dan juga keluar Bersatu serta mengesahkan akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Muhyiddin juga mendedahkan Bersatu sebelum ini mahu merujuk Zuraida kepada lembaga disiplin parti itu disebabkan pelanggaran peraturan parti kerana dikatakan terlibat dengan PBM.
Malah ahli Parlimen Ampang itu juga katanya sudah diberikan surat tunjuk sebab bertarikh 9 Mei dan beliau sudah memberikan jawapan balas pada 23 Mei lalu.
“Memandangkan beliau telah membuat pengumuman untuk menyertai PBM melalui satu kenyataan akhbar hari ini, keahlian beliau dalam Bersatu gugur serta-merta mengikut Fasal 10 Perlembagaan Bersatu,” kata Muhyiddin lagi.
Zuraida sebelum ini keluar daripada PKR dan menyertai Bersatu sekali gus mengakibatkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020.
Beliau dilantik sebagai menteri dalam kerajaan baharu Perikatan Nasional dan mengekalkan jawatannya dalam kabinet selepas Ismail Sabri menggantikan Muhyiddin Yassin pada Ogos tahun lepas.
Terdapat ura-ura beliau akan menyertai PBM dan meninggalkan Bersatu beberapa bulan lepas. Ini menjadi perbualan hangat hingga terdapat desas-desus mengatakan beliau dipecat.
Zuraida menyandang kerusi Ampang selama 14 tahun. Semasa bersama PKR pada 2018, beliau dilantik sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan, jawatan yang disandangnya sehingga kejatuhan Pakatan Harapan pada 2020 akibat Langkah Sheraton.
Beliau kini berada di Turki untuk persidangan antarabangsa dan akan kembali pada 2 Jun, dan akan bertemu perdana menteri selepas itu. – 26 Mei, 2022.
Komen