Kerajaan tak terkesan Zuraida lompat ke PBM, kata penganalisis


Raevathi Supramaniam

Penganalisis beranggapan usaha Zuraida Kamaruddin untuk sertai parti baharu Parti Bangsa Malaysia tidak akan memberi kesan kepada politik negara, sebaliknya langkah itu dilihat hanya akan memakan kerjaya politiknya sahaja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2022.

KEPUTUSAN Zuraida Kamaruddin mahu sertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan peletakan jawatan daripada kabinet tidak beri kesan kepada politik negara sebaliknya akan memudaratkan masa depan politiknya sendiri, kata penganalisis politik.

Mereka berkata keputusannya itu turut akan memberi sedikit kesan kepada pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, memandangkan PBM menyokong kerajaannya.

Keputusan Zuraida untuk menyertai PBM akan memberi kesan negatif kepadanya sendiri jika dia masih mahu pertahankan kerusi Ampang yang disandang sejak 14 tahun lepas.

Profesor James Chin dari Universiti Tasmania berkata pengumuman Zuraida sudah lama dijangkakan.

“Memang sudah dijangka sejak PBM ditubuhkan lagi. Orang sekarang cakap beliau pegang PBM untuk (Ahli Parlimen Gombak) Mohamed Azmin Ali untuk lompat,” kata Chin kepada The Malaysian Insight.

“Tiada kesan kepada politik negara kerana setiap parti sedang bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Ini adalah sebahagian daripada langkah PRU15 untuk Zuraida, Azmin dan ahli kumpulan yang lain,” katanya merujuk kepada ahli Parlimen yang berpaling tadah daripada PKR semasa Langkah Sheraton pada Februari 2020. 11 daripada mereka kemudiannya menyertai Bersatu pada Ogos tahun yang sama.

Tambah Chin, keputusan Zuraida itu juga tidak akan memberi kesan kepada kerajaan yang memerintah.

“Ia tidak akan jejas Ismail Sabri. Beliau tahu kerajaannya adalah ‘kerajaan sebelum pilihan raya’ dan semua orang sudah bersedia untuk PRU.

“Semua ini kecil, gambaran semakin jelas siapa yang akan jadi pemain utama dalam PRU.”

Dalam satu kenyataan pada awal Khamis, Zuraida mengumumkan niat meninggalkan Bersatu untuk menyertai PBM selain meletak jawatan sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi.

Zuraida juga berkata beliau percaya dengan perjuangan PBM dan tertarik dengan prinsip terasnya iaitu penglibatan berbilang kaum, pemerkasaan wanita, pemerkasaan belia, pembangunan ekonomi, pendidikan dan kemajuan sains dan teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Beliau menyandang kerusi Ampang selama 14 tahun. Semasa bersama PKR pada 2018, beliau dilantik sebagai menteri perumahan dan pembangunan tempatan, jawatan yang disandangnya sehingga kejatuhan Pakatan Harapan pada 2020 akibat Langkah Sheraton.

Beliau sekali lagi dilantik sebagai menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional berikutnya, peranan yang beliau kekalkan selepas Muhyiddin Yassin digantikan oleh Ismail Sabri pada Ogos lepas.

Pengumuman Zuraida Kamaruddin sudah lama dijangkakan, kata penganalisis politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2022.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata lompatan Zuraida ke PBM merupakan langkah awal penghijrahan pasukan Azmin yang lain.

“Nampaknya ini adalah permulaan penghijrahan pasukan Azmin ke PBM, dan dengan itu kemunculan kuasa politik baharu,” kata Oh.

PBM telah didaftarkan pada 27 Oktober 2021 dan diterajui oleh Ahli Parlimen Julau Larry Sng. Parti itu kini mempunyai tiga ahli Parlimen - Zuraida, Sng dan Steven Choong (Tebrau).

Oh berkata memandangkan Zuraida tidak menarik balik sokongannya kepada Ismail, tiada kesan kepada beliau atau pentadbirannya.

“Zuraida, saya rasa boleh, diredakan dengan pelantikan politik yang sesuai yang bukan jawatan menteri. Dan PBM masih sebahagian daripada gabungan kerajaan,” katanya.

Zuraida mungkin hilang kerusi Ampang

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali dalam pada itu berkata keputusan Zuraida untuk menyertai PBM mungkin akan menyebabkannya hilang kerusi Ampang.

“Beliau akan bermasalah untuk pertahankan Ampang jika bertanding di bawah PBM,” kata Mazlan. 

“Beliau ada peluang lebih besar untuk menang jika bertanding di bawah Bersatu. Seperti yang kita lihat, dalam pilihan raya negeri Johor PBM hilang semua depositnya, ia sedang bergelut untuk bertahan.”

Mazlan berkata Zuraida hanya popular kerana PKR dan Bersatu.

“Zuraida kuat kerana PKR, dengan Bersatu beliau masih relevan kerana ada PAS. Dengan PBM, mereka tidak ada apa-apa pengaruh,” katanya.

Terdapat juga kemungkinan tinggi bagi mereka yang berpaling tadah daripada PKR bersama beliau untuk menyertai PBM, katanya.

“Ada kemungkinan orang lain akan sertai Zuraida. Idealisme mereka berbeza dengan Umno dan Bersatu yang kedua-duanya adalah parti nasionalis Melayu.

“Mereka lebih biasa berada dalam parti berbilang kaum.” – 27 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen