Kerajaan Sarawak pantau rapat pelaburannya dalam Serba Dinamik, kata 


Desmond Davidson

Timbalan Premier Sarawak Douglas Uggah menyifatkan syarikat itu sebagai "pada masa ini mengalami beberapa siri anjakan ke belakang buat sementara". – Gambar Twitter, 26 Mei, 2022.

KERAJAAN Sarawak sedang memantau pelaburannya dalam Serba Dinamik Holdings Bhd yang bermasalah dan mengelak daripada membuat keputusan buat masa ini, kata Timbalan Premier Douglas Uggah.

Katanya kerajaan negeri tidak mahu membuat keputusan berdasarkan pertimbangan kecil dan jangka pendek tanpa melihat secara menyeluruh.

“Pelaburan negeri bertujuan untuk meningkatkan nilai jangka panjang dan bukan untuk dagangan jangka pendek,” katanya kepada sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Pada Isnin, Adun Batu Lintang See Chee How menggesa kerajaan negeri menjelaskan kepada wakil rakyat mengenai kerugian yang dialami oleh negeri dan semua agensi berkaitan kerajaan yang telah melabur dalam syarikat minyak dan gas itu dan bagaimana mereka akan membayar balik kerugian itu.

See berkata Laporan Bersepadu Serba Dinamik 2021 menunjukkan sehingga 2 Disember tahun lepas, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak mempunyai 159.5 juta pegangan saham dan 36 juta pegangan waran, manakala Lembaga Kemajuan Bintulu mempunyai 21 juta pegangan saham dan 6 juta pegangan waran dalam syarikat itu.

Uggah berkata semua pelaburan ada risikonya malah tiada jaminan boleh diberikan tentang prestasi masa hadapan.

“Dalam kes Serba Dinamik, tiada siapa yang dapat menjangkakan perkara-perkara sebegini akan tergelincir tanpa diduga,” katanya.

Beliau menyifatkan syarikat itu sebagai “pada masa ini mengalami beberapa siri anjakan ke belakang buat sementara”.

Uggah memberitahu Dewan yang sebarang pelaburan oleh negeri dalam saham tersenarai adalah berdasarkan “analisis dan penilaian menyeluruh terhadap asas, kewangan dan potensi prospek serta pertumbuhan syarikat”.

“Apabila negeri mengambil bahagian dalam Tawaran Awam Permulaan (IPO) Serba Dinamik pada 2017 dan pelaburan berikutnya sebelum pandemik Covid-19, kedudukan kewangan syarikat tersebut kukuh dengan hasil RM2.72 bilion pada 2017 dan RM4.52 bilion pada 2019 dengan keuntungan selepas cukai (PAT) masing-masing berjumlah RM304.79 juta dan RM497.98 juta pada 2017 dan 2019.

“Malah, setakat ini, Sarawak telah menerima sejumlah RM22.552 juta pembayaran dividen daripada syarikat dengan hasil dividen tahunan antara 4.6 peratus hingga 6.9 peratus.

“Di samping itu, Sarawak juga telah menerima terbitan pecahan saham dan bonus, percuma pada kos berjumlah 66 juta,” katanya.

Disember lalu Serba Dinamik dituduh mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad berhubung angka hasil RM6.014 bilion yang terkandung dalam laporan syarikat bagi suku dan tahun berakhir 31 Disember 2020.

Empat daripada pegawai kanan syarikat itu, termasuk ketua eksekutifnya Abdul Karim Abdullah, bagaimanapun, dibebaskan daripada pertuduhan selepas penyelesaian penuh denda RM16 juta syarikat yang dikenakan Suruhanjaya Sekuriti (SC) selesai. – 26 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen