Ikan air tawar boleh jadi pilihan ketika harga ikan laut meningkat, kata MB Kelantan 


Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob sektor akuakultur berpotensi untuk berkembang maju di negeri itu apabila 1,100 orang penternak terlibat dalam aktiviti ternakan ikan air tawar.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2022.

IKAN air tawar boleh menjadi pilihan kepada rakyat negeri ini terutama ketika harga ikan laut meningkat hingga mencecah 20 peratus sejak seminggu lepas, kata Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob.

Beliau berkata dengan menjadikan sumber itu sebagai pilihan, ia sekali gus dapat menampung permintaan terhadap ikan laut yang kadangkala terjejas dalam keadaan tertentu termasuk cuaca buruk.

Menurutnya sektor akuakultur berpotensi untuk berkembang maju di Kelantan apabila 1,100 orang penternak terlibat dalam aktiviti ternakan ikan air tawar.

“Potensi ikan air tawar ini cukup besar untuk menjana sosioekonomi rakyat terutama kepada penternak selain ia secara tidak langsung dapat menjadi satu daripada sumber kepada bekalan makanan negara dan juga pilihan kepada rakyat.

“Setakat ini juga, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM975,000 kepada Jabatan Perikanan negeri untuk menjayakan program pembangunan kepada nelayan dan penternak di Kelantan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Perikanan Jom Makan Ikan Air Tawar di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan) Mohd Mohtar Mahamud. 

Semalam media melaporkan, harga ikan di Kelantan meningkat hingga mencecah 20 peratus disebabkan kekurangan bekalan kerana nelayan tidak dapat ke laut berikutan cuaca buruk sejak seminggu lepas.

Sementara itu, Mohd Mohtar berkata pada 2020, pengeluaran ikan air tawar dan air payau di Kelantan mencapai 6,022 tan metrik setahun dengan nilai melebihi RM49 juta.

Beliau berkata terdapat 843 orang penternak ikan air tawar manakala 227 orang penternak ikan air payau di negeri ini.

“Komoditi utama di negeri ini adalah ikan keli dan patin dengan pengeluaran hasil kedua-duanya direkodkan sebanyak 2,408 dan 2,044 tan metrik.

“Oleh itu, kami melihat ikan air tawar ini menjadi satu pilihan sumber protein negara ketika ini dengan kadaran harga berbeza daripada ikan di laut sehingga mencecah perbezaan harga dua kali ganda sedangkan khasiat dari protein adalah sama,” katanya.

Beliau berharap pelbagai program pembangunan dapat dilaksanakan menerusi peruntukan RM1.3 juta daripada Kerajaan Persekutuan tahun ini dan sokongan daripada kerajaan negeri sekali gus mengoptimumkan pengeluaran ikan air tawar dan air payau di negara. – Bernama, 26 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen