PBM akan proses permohonan Zuraida, kata setiausaha agung


Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad memaklumkan partinya sudah menerima permohonan Zuraida Kamaruddin dan akan melalui beberapa proses sebelum ahli Parlimen Ampang itu diterima sebagai ahli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2022.

PENYERTAAN Zuraida Kamaruddin ke Parti Bangsa Malaysia (PBM) perlu melalui proses yang diperlukan sebelum boleh diterima sebagai ahli, kata setiausaha agung parti itu hari ini.

Nor Hizwan Ahmad turut memaklumkan PBM sudah menerima permohonan Zuraida.

“Permohonan ini akan melalui proses berkaitan termasuk perbincangan dengan Majlis Tertinggi dan keputusan akan dimaklumkan tidak lama selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Ampang itu pagi ini mengumumkan akan meninggalkan Bersatu untuk menyertai PBM, selain bersedia untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Malah, katanya beliau akan bertemu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob “secepat mungkin untuk membincangkan peletakan jawatannya”, menambah akan bincang dengan beliau mengenai peranan dan hala tuju PBM dalam memperkasakan Keluarga Malaysia.

Zuraida memulakan karier politiknya dengan PKR, namun keluar daripada parti itu bersama Azmin Ali dan sembilan yang lain dalam rancangan yang disebut sebagai Langkah Sheraton sehingga menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020.

Kumpulan itu kemudiannya menyertai Bersatu pada Ogos tahun sama.

Sementara itu, ahli majlis tertinggi Bersatu Eddin Syazlee Shith dilaporkan berkata keputusan Zuraida untuk menjadi sebahagian daripada PBM mungkin disebabkan keinginannya untuk bersama sebahagian daripada parti berbilang bangsa.

Beliau berkata ada perbezaan ideologi semasa Zuraida berkhidmat dengan parti Melayu Bersatu.

Beliau juga menolak cadangan tindakan Zuraida itu ada kena mengena dengan pertelingkahan dengan beberapa pemimpin tertinggi Bersatu.

“Ia bukan macam beliau lawan presiden (Muhyiddin Yassin) dan yang lain. Kebetulan beliau ada ideologi sendiri yang kami tidak boleh terima,” katanya seperti dipetik The Vibes.

Naib presiden kanan PBM I Steven Choong pula dilaporkan berkata Zuraida akan menaikkan imej parti, terutamanya mengambil kira peranannya dalam memperjuangkan wanita.

“Saya pasti dapat nampak lebih ramai wanita sertai parti kami kerananya,” katanya.

Zuraida dikaitkan dengan PBM sejak ia ditubuhkan November lalu namun beliau tepis semua spekulasi berhubung dakwaan tersebut. – 26 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen