PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak harus mengekalkan ahli parlimen yang melompat parti di jawatan Kabinet, tegas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau mahu Ismail yang juga naib presiden Umno tidak lagi berkompromi dengan perkara itu selepas tindakan Menteri Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin melompat parti sekali lagi.
“Perdana menteri perlu melihat perkara ini serius dan tidak lagi berkompromi kepada mana-mana (wakil rakyat) melompat (parti) kemudian kekal jawatan menteri kabinet.
“Ia sebahagian tanda sokongan terhadap ketegasan menangani isu lompat parti kalangan wakil rakyat menjelang pelaksanaan undang-undang (menghalang lompat parti).
“Ramai lagi ahli parlimen yang setia terhadap parti dan tidak melompat parti wajar dipertimbangkan untuk mengisi jawatan menteri yang dipegang oleh Zuraida,” katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas ahli Parlimen Ampang itu mengumumkan akan bertemu Ismail bagi membincangkan peletakan jawatan sebagai menteri.
Zuraida bertindak demikian selepas bertindak keluar parti Bersatu bagi menyertai Parti Bangsa Malaysia.
Beliau menyertai Bersatu pada Februari 2020 bersama sekumpulan lagi menteri dari kalangan ahli parlimen PKR pada waktu itu, yang menyebabkan pentadbiran Pakatan Harapan tumbang.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahidi juga menggesa agar undang-undang antilompat parti disegerakan untuk mengelak wakil rakyat dapat bertukar parti dengan mudah seperti Zuraida.
“... ia memberikan seolah-olah sangat mudah kepada wakil rakyat di negata ini untuk bertukar parti mengikut selera dan cita rasa sendiri.
“Tindakan lompat demi lompat sudah pasti mengecewakan rakyat dan menunjukkan tiada kawalan terhadap wakil rakyat dan bebas buat apa-apa sahaja.
“Tindakan ini sebenarnya menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap wakil rakyat dan parti politik semakin terhakis. Ia seolah-olah mempermainkan undi rakyat,” katanya.
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata kepercayaan terhadap sistem demokrasi dan institusi politik akan menjadi semakin buruk jika pindaan tersebut tidak disegerakan.
Sentimen itu juga boleh menyebabkan peratusan keluar mengundi semakin rendah kelak, katanya. – 26 Mei, 2022.
Komen