Rosmah, Global Royalty tuntut rantai tangan berlian


Sebelum ini, pasukan peguam Rosmah Mansor memohon gambar barang kemas yang dirampas untuk memudahkan tuntutan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2022.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu syarikat barang kemas Lubnan, Global Royalty Trading SAL dan Rosmah Mansor membuat tuntutan terhadap rantai tangan bertatahkan emas putih bernilai AS$220,000, yang kini disimpan dalam bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM).

Peguam Azamuddin Abd Aziz yang mewakili Rosmah memberitahu Hakim Muhammad Jamil Hussin anak guamnya mahu meneruskan tuntutan terhadap rantai tangan itu.

“Gambar barang kemas itu akan diterima hari ini. Kami memerlukan masa untuk mendapatkan arahan pengesahan daripada Rosmah berhubung tuntutan pihak ketiga,” katanya ketika pengurusan kes hari ini.

Sebelum ini, pasukan peguam Rosmah memohon gambar barang kemas yang dirampas untuk memudahkan tuntutan.

Sementara itu, peguam David Gurupatham, yang mewakili Global Royalty menegaskan rantai tangan itu milik syarikat barang kemas tersebut kerana ia disahkan pakar syarikat itu semasa pemeriksaan fizikal tahun lalu.

“Yang Arif, Rosmah tidak hadir ke BNM untuk pemeriksaan dan beliau mengetepikan hak untuk pemeriksaan barang kemas itu. Untuk rekod, Foo Wei Min yang juga pegawai bertanggungjawab memeriksa secara fizikal setiap barang kemas tersebut. Pakar dari Global Royalty juga mengesahkan ia milik syarikat itu,” kata peguam itu.

Barang kemas itu antara pelbagai barangan yang dirampas polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences pada Mei 2018, yang didakwa ada kaitan dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan pelbagai barangan dirampas termasuk 11,991 barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,39.

Semasa prosiding hari ini, peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib Razak berkata, tuntutan pihak ketiga bekas perdana menteri itu hanya bagi tujuh utas jam tangan dan bukan rantai tangan itu.

Peguam itu memohon mahkamah mengadakan perbicaraan berasingan berhubung tuntutan Najib bagi jam tangan itu.

Muhammad Shafee memohon pihak pendakwaan meminda notis usulnya (berkenaan saman pelucuthakan) bagi memudahkan pendengaran berasingan tuntutan tujuh utas jam tangan itu.

“Mengenai tuntutan Najib, ia lebih tujuh utas jam tangan. Yang lain dah selesai. Bagi pihak pendakwaan membuat pindaan, ia sangat mudah melalui lisan,” kata Muhammad Shafee dan menjelaskan perkara itu akan mengelakkan kelewatan mendengar tuntutan rampasan barangan lain.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin ketika menjawab permohonan Muhammad Shafee bagi perbicaraan berasingan berhubung tuntutan tujuh utas jam tangan itu berkata, mereka memerlukan lebih masa untuk memfailkan permohonan sewajarnya bagi meminda notis usul itu.

Muhammad Jamil menetapkan 8 Jun untuk pengurusan kes bagi membenarkan pihak pendakwaan meminda dokumen mahkamah berkaitan. – Bernama, 25 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen