Wang dalam akaun saya cukup bayar kad kredit, kata Zahid


Bekas TPM Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini baki wang dalam akaun peribadinya lebih daripada mencukupi untuk membayar kad kredit miliknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2022.

BEKAS timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini baki wang dalam akaun peribadinya lebih daripada mencukupi untuk membayar kad kredit miliknya tanpa menggunakan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Zahid, 69, berkata akibat kecuaian bekas setiausaha eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly, wanita itu membayar kad kredit peribadinya menggunakan cek yayasan itu.

“Baki setiap bulan dalam akaun peribadi saya lebih daripada mencukupi untuk membayar kad-kad kredit peribadi saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika disoal peguamnya Hamidi Mohd Noh semasa membela diri atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Kepada soalan Hamidi, mengapa Mazlina menggunakan cek YAB untuk menjelaskan bil kad kredit berkenaan, Zahid berkata Mazlina melakukan kecuaian dengan membayar kad kredit menggunakan cek YAB.

“Mazlina dalam keterangannya di mahkamah sebelum ini juga mengakui melakukan kecuaian yang mana dia tidak tahu, tidak pasti dan tidak ingat berkenaan pengurusan bil kad kredit,” katanya.

Terdahulu, Zahid dirujuk dengan baki wang dalam akaun Maybank miliknya antara 2014 hingga 2016 yang menunjukkan baki minimum sebanyak RM100,000 dan maksimum RM600,000 manakala bil kad kreditnya minimum RM600 dan maksimum RM215,000, dalam tempoh sama.

Pada perbicaraan sebelum ini, Zahid memberitahu mahkamah Mazlina yang diamanahkan untuk menjaga akaun peribadinya dan YAB, melakukan pelbagai kecuaian antaranya gagal memahami dan membaca penyata kad kredit miliknya sehingga menyebabkan pembayaran kad kredit tidak mencukupi dan berlebihan.

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Zahid didakwa menggunakan dana YAB untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang ke firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India, antara 13 Januari, 2014 dan 23 Disember, 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung. – Bernama, 25 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen