Tolak PJD Link, fikirkan alternatif lain, kata Maria Chin


Kerajaan negeri Selangor digesa menolak cadangan pembangunan lebuh raya PJD Link dan mencari sistem pengangkutan awam alternatif, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2022.

AHLI Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah sekali lagi menggesa kerajaan negeri Selangor menolak cadangan pembangunan lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link).

Beliau berkata adalah lebih baik jika pihak berkuasa mencari sistem pengangkutan awam alternatif yang lebih mampan.

“Mesyuarat perundingan antara kerajaan negeri, wakil dilantik dan penduduk akan dapat digunakan untuk menyelesaikan pendirian Selangor berkenaan PJD Link.

“Ada banyak cara selesaikan perkara ini, dan lebuh raya bertingkat bukanlah penyelesaian yang berdaya maju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini susulan laporan kerajaan persekutuan meluluskan lebih banyak lebuh raya persendirian di Lembah Klang.

Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof semalam berkata Putrajaya meluluskan beberapa cadangan daripada sektor swasta bagi pembinaan lebuh raya baharu, termasuk di sekitar Lembah Klang.

Katanya, antara cadangan yang diterima itu adalah bagi pembinaan lebuh raya bertujuan menangani masalah kesesakan lalu lintas.

Lebuh raya PJD Link dipercaya antara lebuh raya berkenaan.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan exco Selangor Izham Hashim berkata rundingan berkenaan PJD Link masih berjalan.

Lembaga Lebuhraya Malaysia memaklumkan kerajaan negeri iaitu kerajaan persekutuan dan pemaju masih dalam proses rundingan berkenaan projek itu, katanya.

Izham berkata susulan rundingan masih dilakukan, pemegang konsesi belum membuat permohonan untuk pembentangan kedua kepada exco Selangor.

Katanya, sebelum projek itu dapat dimulakan, pemegang konsesi perlu melakukan penilaian kesan alam sekitar, sosial dan lalu lintas terlebih dahulu. – 25 Mei, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen