DAP desak SPRM telus mengenai skandal perolehan perubatan


Raevathi Supramaniam

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata rakyat berhak mengetahui lebih lanjut mengenai skandal perolehan peralatan perubatan, tanpa menjejaskan proses siasatan SPRM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2022.

MENJADI kepentingan awam bagi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki mendedahkan identiti individu dan agensi terlibat dalam skandal perolehan peralatan perubatan, terutamanya semasa pandemik Covid-19, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke hari ini.

“Azam perlu lebih telus dalam kes ini dan memaklumkan kepada orang ramai kementerian dan jabatan kerajaan mana yang terlibat, dan sama ada kes itu melibatkan mana-mana menteri atau timbalan menteri, serta jumlah yang terlibat,” kata Loke dalam satu kenyataan.

“Orang ramai berhak mengetahui lebih lanjut mengenai kes rasuah ini, tanpa menjejaskan proses siasatan SPRM.”

Semalam, Azam berkata SPRM mula menyiasat kes melibatkan rasuah berhubung perolehan perkhidmatan perubatan; penyalahgunaan kuasa dalam penyelewengan bantuan bantuan dan pakej rangsangan; penipuan berkaitan peralatan perlindungan perubatan dari segi kuantiti dan kualitinya; dan rasuah pegawai penguat kuasa semasa perintah kawalan pergerakan ketika Covid-19.

Loke turut menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memanggil Azam untuk memberikan butiran lanjut kepada Parlimen.

“Saya menggesa PAC memanggil Azam untuk tampil memberikan bukti dan maklumat kepada PAC, yang bertanggungjawab memastikan semua perbelanjaan kerajaan diuruskan dengan baik,” katanya.

Ahli Parlimen Seremban itu turut menyeru orang ramai menuntut tindakan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Rakyat Malaysia tidak boleh mengambil mudah masalah rasuah dan mesti menuntut supaya tindakan tegas diambil terhadap perasuah yang tidak berperikemanusiaan ini.” – 25 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen