Korea Utara lancar 3 peluru berpandu balistik, kata tentera Seoul


KOREA Utara melepaskan tiga peluru berpandu balistik ke arah Laut Jepun pada awal Rabu, kata tentera Seoul, hanya sehari selepas Presiden Joe Biden menamatkan lawatan pertamanya ke Asia.

Ketua Staf Bersama Korea Selatan berkata dalam satu kenyataan ia “mengesan kira-kira 0600 (2100 GMT), 0637 dan 0642 tembakan peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari kawasan Sunan.”

Pengawal pantai Jepun memberi amaran “kemungkinan peluru berpandu balistik” dilancarkan dari Korea Utara, memberitahu kapal menjauhi objek yang jatuh di perairan.

Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida memberitahu pemberita yang Tokyo sedang cuba mengesahkan maklumat mengenai pelancaran itu.

Presiden baharu Korea Selatan Yoon Suk-yeol akan menyelia mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada 0730 untuk membincangkan mengenai perkara itu, kata pejabatnya.

Yoon, yang mengangkat sumpah awal bulan ini, berikrar bertegas dengan Pyongyang selepas lima tahun gagal berdiplomasi.

Pelancaran padaRabu adalah yang terbaharu oleh Pyongyang tahun ini, termasuk ujian peluru berpandu balistik antara benua pada jarak penuh buat kali pertama sejak 2017.

Ujian terbaru itu hanya beberapa hari selepas Biden meninggalkan Korea Selatan pada Ahad selepas amaran yang pemimpin Pyongyang Kim Jong Un mungkin melakukan ujian nuklear semasa Biden berada di rantau itu.

Semasa berada di Korea Selatan, Biden bertemu Yoon membincangkan latihan ketenteraan yang diperluaskan untuk menentang serangan Kim.

Sebarang penambahan pasukan atau pengembangan latihan ketenteraan bersama mungkin akan menimbulkan kemarahan Pyongyang, yang menganggap latihan itu sebagai latihan untuk pencerobohan.

Kim baru-baru ini menggandakan program pemodenan ketenteraannya.

Walaupun bergelut dengan wabak Covid-19 baru-baru ini, imej satelit baharu menunjukkan ia menyambung semula pembinaan di reaktor nuklear yang sekian lama tidak aktif. – AFP, 25 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen